KLUANG – Tiada sebarang unsur pemujaan atau ritual bercanggah syarak di kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu, di sini, susulan video tular memaparkan seorang lelaki melakukan gerakan menyerupai silat di baru-baru ini.
Pejabat Kadi Daerah Kluang dalam kenyataannya memaklumkan aduan awam aksi tular itu diterima pada Sabtu.
"Berikutan itu, Petugas Tanah Perkuburan Pejabat Kadi Daerah Kluang telah segera ke tempat kejadian bagi melihat kawasan di tanah perkuburan tersebut sekiranya ada tanda-tanda yang menunjukkan berlaku ritual pemujaan yang melanggar peraturan dan Undang-undang Syariah serta norma kehidupan manusia.
“Laporan menunjukkan tiada sebarang tanda menunjukkan berlakunya pemujaan atau ritual di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan dimuat naik laman Facebook rasmi Pejabat Kadi Daerah Kluang pada Ahad.
Pejabat Kadi Daerah Kluang dalam masa sama menegaskan segala bentuk khurafat, tahyul, pemujaan yang salah atau apa-apa aktiviti merendahkan agama adalah dilarang.
"Kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 2003,"ujarnya.
Sebelum itu, tular video berdurasi 28 saat yang dirakam pengguna jalan raya memaparkan seorang lelaki memakai jaket serta bertopi keledar berdiri di kawasan perkuburan sambil melakukan beberapa gerakan tangan dan kaki seakan bersilat.
Pada Sabtu, Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid mengarahkan Pejabat Kadi Kluang menyiasat video tular yang memaparkan seorang lelaki melakukan pergerakan seakan-akan bersilat di tanah perkuburan Islam untuk memastikan tiada unsur yang bercanggah dengan adab dilakukan di tanah perkuburan.
Insiden itu turut menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar yang menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga fakta sebenar diperoleh.