Empat sekeluarga terkandas banjir di Hatyai berlapar lebih 15 jam

Iklan
Ahmad Kamil dan keluarganya di hadapan hotel mereka di Hatyai yang ditenggelami banjir.

SHAH ALAM – Empat sekeluarga terpaksa berlapar lebih 15 jam akibat kehabisan bekalan makanan selepas terkandas apabila kawasan hotel tempat mereka menginap di Hatyai, Thailand ditenggelami banjir.

Ahmad Kamil Mohamad, 36, yang juga Pengurus Bahagian Penyelenggaraan di sebuah kilang tayar di Alor Setar, bersama isteri, Tengku Fasehah Tengku Hashim, 36, dan dua daripada tiga anak mereka, Ahmad Zharfan Mirza, 10, dan Nur Zara Marissa, 6, hanya dapat menjamah makanan semula pada jam 11 pagi Ahad.

Iklan
Iklan

Adik Ahmad Kamil iaitu Siti Maisarah, 34, berkata, abang dan kakak iparnya bernasib baik kerana anak bongsu mereka, Ahmad Zafrel Mikael, yang berusia sembilan bulan masih menyusu badan sepenuhnya.

Katanya, kali terakhir abangnya empat beranak makan adalah sekitar jam 6 petang Sabtu selepas diberikan makanan oleh pihak Hotel Yannaty memandangkan semua kedai di sekitar kawasan itu turut ditutup susulan paras air yang semakin dalam.

Iklan

"Mujurlah anak mereka yang bayi masih menyusu badan. Kalau tidak, tak tahu nak beri makan apa sebab semua makanan habis. Mereka juga tidur dalam keadaan perut lapar dan bergelap kerana bekalan elektrik di situ turut terputus.

"Abang saya tak berani keluar redah banjir untuk cari makanan sebab dia ternampak seekor ular sawa dalam air selain air di kawasan tangga hotel juga kelihatan kotor," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Kereta Ahmad Kamil dan tiga lagi rakyat Malaysia tenggelam selepas ruang parkir bawah tanah hotel dinaiki air.

Kereta abangnya bersama tiga lagi kenderaan milik rakyat Malaysia turut tenggelam selepas ruang parkir bawah tanah hotel ditenggelami air sepenuhnya.

Bagaimanapun, selepas lama bertahan, Ahmad Kamil dan keluarganya akhirnya dapat mengalas perut dengan menu nasi goreng apabila mula menerima bantuan setelah paras air mulai surut pada pagi Ahad.

Siti Maisarah memberitahu, detik sukar yang dilalui abangnya membuatkan kedua-dua ibu bapa mereka, Jamilah Bee, 65, dan Mohamad Abdul Rani, 63, sangat gelisah dan tidak senang duduk.

"Mak saya susah hati dan asyik menangis sebab abang tak dapat bantuan terlalu lama, apatah lagi kawasan itu masih hujan lebat dari semasa ke semasa. Bateri telefon abang juga habis, dan kami hanya berhubung dengan kakak ipar dalam keadaan bateri telefonnya pagi tadi cuma tinggal 14 peratus.

"Tapi kami bersyukur kerana mereka sudah mula dapat bantuan. Sebab itu kami ambil keputusan untuk bergerak dari rumah di Pulau Pinang untuk ambil mereka di sempadan Malaysia–Thailand," ujarnya lagi.

Ahmad Kamil sekeluarga dan rakyat Malaysia lain yang terperangkap di Hatyai menaiki bas untuk pulang ke Malaysia kira-kira jam 2 petang Ahad.

Katanya, keluarga abangnya mula meninggalkan kawasan hotel kira-kira jam 2 petang dan menaiki bas yang dikatakan datang dari Kuala Lumpur untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di selatan Thailand.

Terdahulu, kerajaan dilaporkan sedang mempergiat usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Hatyai susulan banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memaklumkan, kira-kira 4,000 rakyat Malaysia dilaporkan terkandas di Hatyai akibat banjir, namun paras air dijangka mula surut menjelang petang Ahad.