'Kami terus keluar bila bomba beri isyarat' – Mangsa banjir Hatyai

Iklan
Dari kiri, Nur Farah Amalina dan Amir bersama beberapa lagi rakyat Malaysia yang berjaya tiba di Bukit Kayu Hitam pada pagi Ahad.

BUKIT KAYU HITAM - “Kami memang tunggu sejak awal pagi. Bila bomba beri isyarat laluan boleh lepas, kami terus keluar. Kalau tunggu lagi, bimbang hujan makin lebat.”

Demikian kata Amir Ibrahim, 40, salah seorang rakyat Malaysia yang terperangkap selama tiga hari dua malam di sebuah hotel di Hatyai susulan banjir besar yang melanda wilayah berkenaan sejak Jumaat lalu.

Iklan
Iklan

Sepanjang tempoh itu, katanya, mereka berdepan pelbagai kesukaran termasuk gangguan bekalan elektrik dan air serta akses makanan yang semakin terhad.

Amir

Iklan

“Siang masih ada sedikit elektrik, tapi bila malam memang gelap. Air pula langsung tak ada. Kami berjimat guna air tangki, dan pemilik hotel sediakan air mineral.

"Telefon pula terpaksa jimat bateri, buka tutup ikut keperluan,” katanya yang selamat sampai di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam di sini pada pagi Ahad.

Iklan

Dia yang bekerja di sebuah hotel di Langkawi datang bercuti ke kawasan pelancongan tersebut bersama lima lagi rakannya dan berjaya keluar dari kawasan banjir dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda.

Amir (tengah) bersama rakannya yang tiba di Bukit Kayu Hitam pada pagi Ahad.

Jelas Amir, bekalan makanan turut menjadi kebimbangan utama sepanjang berada di sana kerana kebanyakan kedai berhampiran ditutup selepas air meningkat.

“Pada Sabtu kami keluar cari bekalan. Beli air mineral dan mi segera untuk simpan di hotel. Ada juga beberapa kedai di kawasan tinggi yang masih buka, tapi yang di bawah semua tutup,” ujarnya.

Sementara itu, Nur Farah Amalina Abd Aziz, 33, turut berkongsi pengalaman hampir sama apabila terputus bekalan elektrik sepenuhnya sehingga tidak dapat berhubung dengan keluarga di Malaysia.

Nur Farah Amalina

Menurutnya, dia bersama rakan-rakan lain terpaksa menutup telefon bimbit dan hanya dibuka bagi tujuan kecemasan.

“Memang risau, tapi kami hanya maklumkan secara ringkas kepada keluarga bila dapat buka telefon. 'Powerbank' pun kami kongsi ramai-ramai,” katanya.

Terdahulu, kerajaan memaklumkan lebih 4,000 rakyat Malaysia terperangkap akibat banjir di Hatyai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan semasa disalurkan melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Thailand bagi menyelaras usaha membawa pulang mereka yang terlibat selain memantau perkembangan semasa dengan pihak berkuasa negara tersebut.