KOTA KINABALU - Masalah gangguan bekalan air dan elektrik yang sering berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu menjadi isu utama yang mahu ditangani calon Barisan Nasional (BN), Datuk Awang Aslee Lakat sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Awang Aslee berkata, aduan penduduk menunjukkan gangguan bekalan itu masih kerap berlaku sehingga menjejaskan kehidupan harian mereka.
"Saya kira paling mendesak adalah masalah air dan elektrik. Dalam seminggu, empat lima kali ‘blackout’. Air pula kadang-kadang berminggu terputus, sampai orang kampung terpaksa ambil air dari perigi.
"Sekarang ini pun walaupun dalam tempoh berkempen, penduduk masih berdepan masalah air," dakwanya ketika ditemui Sinar Harian.
Beliau berkata, walaupun penyelesaian menyeluruh mengambil masa, usaha jangka pendek tetap perlu dilaksanakan agar penduduk tidak terus terbeban.
"Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid kata masalah ini boleh diselesaikan dalam tempoh lima tahun. Tapi kita tidak boleh tunggu lima tahun. Mesti ada alternatif untuk mengurangkan beban rakyat sementara menunggu penyelesaian penuh," katanya.
Ditanya mengenai sambutan pengundi di kawasan tersebut sepanjang tempoh berkempen, beliau melihat rakyat memberikan isyarat positif kepada BN.
"Sepanjang kempen dari minggu pertama sampai sekarang, kita nampak semangat pengundi sangat baik. Mereka sebenarnya rindukan pemerintahan kerajaan yang stabil di Kuala Penyu,” katanya.
Mengulas mengenai kawasan Kadazan Dusun Murut (KDM) yang turut berada dalam pecahan Kuala Penyu, Awang Aslee berkata, jentera BN telah ditempatkan secara khusus di kawasan itu melalui pusat daerah mengundi (PDM), markas dan pasukan yang ditugaskan untuk menjalankan gerak kerja.
"Di kawasan KDM pun kita ada PDM, markas dan jentera. Selain itu, kita dapat sokongan beberapa jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini membantu kita. PDM ini juga telah dibuka untuk memastikan pengundi dijaga sepanjang pilihan raya," katanya.
Beliau berkata, BN tidak meletakkan sasaran terlalu besar namun berharap dapat meraih sekurang-kurangnya 1,000 hingga 2,000 undi dari kawasan berkenaan sebagai kelebihan tambahan kepada jentera parti di kawasannya di Menumbok.
Ditanya mengenai keyakinan untuk menang, Awang Aslee menjelaskan bahawa persaingan di Kuala Penyu bukan sekadar berdepan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sebaliknya melibatkan tokoh yang berpengaruh.
"Menang mudah? Tidak. Saya bukan lawan GRS sebenarnya. Saya lawan seorang tokoh iaitu Datuk Limus Jury. Beliau sudah tiga penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dari segi kewangan, dia memang tiada masalah.
"Dalam masa tiga tahun terakhir ini, kalau sebut nama Limus semua orang kenal. Tapi saya yakin kita akan menang. Orang bilang, satu undi pun sudah dikira menang," katanya.