JPN Kelantan galak calon SPM tinggal di asrama elak terkandas banjir

Iklan
Siti Norina (dua dari kiri) ketika meninjau operasi PPS di SK Pauh Sembilan, Bachok pada Sabtu.

BACHOK – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menumpukan keutamaan penuh terhadap calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan menggalakkan pelajar di kawasan berisiko banjir supaya tinggal di asrama sekolah bagi memastikan persediaan dan perjalanan peperiksaan tidak terganggu.

Pengarah Pendidikan Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata, langkah itu dilaksanakan bagi melancarkan sesi peperiksaan SPM yang berlangsung ketika Monsun Timur Laut (MTL).

Iklan
Iklan

“Kami sangat mengambil berat kebajikan calon SPM. Bagi kawasan yang sering dilanda banjir, kami galakkan malah pujuk mereka untuk tinggal di asrama buat sementara waktu.

“Ada pelajar sebelum ini enggan, tapi untuk peperiksaan mereka akhirnya akur demi keselamatan dan persediaan masing-masing,” katanya selepas meninjau operasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh Sembilan, di sini pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, pada masa sama JPN tetap melakukan pemantauan rapi di setiap PPS bagi mengenal pasti sekiranya ada calon yang terpaksa berpindah atas faktor keselamatan.

“Guru-guru dan pentadbir sekolah sudah diarahkan supaya memantau kesihatan serta kebajikan anak-anak ini.

Iklan

“Kami tidak mahu berlaku keadaan yang boleh menjejaskan tumpuan mereka untuk menduduki peperiksaan,” katanya.

Mengulas pengoperasian pengurusan banjir, Siti Norina memaklumkan, sebanyak 342 sekolah di negeri ini dijadikan PPS yang mampu memuatkan kapasiti penghuni seramai 162,770 mangsa.

Katanya, penempatan mangsa banjir dilakukan secara berasingan supaya sesi pembelajaran dan persediaan peperiksaan berjalan seperti biasa.

“Sesi persekolahan menengah dan rendah beroperasi seperti biasa.

“Sudah dipisahkan ruang bilik darjah antara PPS dan kelas untuk sesi persekolahan,” katanya.

Kelantan mempunyai 27,361 calon SPM yang akan menduduki kertas peperiksaan di 286 pusat peperiksaan melibatkan 247 sekolah.