Mangsa banjir Kelantan meningkat mendadak 486 orang

Iklan
Kanak-kanak mengharungi air yang membanjiri kawasan Taman Perindustrian Golf. - Foto Sinar Harian/ Adila Sharinni Wahid

KOTA BHARU - Mangsa banjir Kelantan meningkat mendadak kepada 486 individu terdiri 205 keluarga menjelang malam berbanding 43 mangsa daripada 12 keluarga pada pagi Sabtu.

Peningkatan melibatkan mangsa di daerah pertama banjir iaitu di Bachok dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan penduduk di Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh Sembilan dan SK Jelawat.

Iklan
Iklan

Pertambahan baharu mangsa banjir di daerah Kota Bharu yang menempatkan mereka di SK Tapang dan SK Parang Puting manakala di Tumpat, penduduk berlindung SK Pengkalan Kubor 2 serta SK Seri Tumpat 2.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, beberapa jalan sekitar Kota Bharu dinaiki air setinggi hingga 0.3 meter meliputi jalan di Kedai Lalat, Budi selain limpahan air di kawasan taman perumahan Pengkalan Chepa melibatkan Taman Kurnia Jaya, Taman Desa Pinggiran Golf dan Padang Tembak.

Iklan

Keadaan banjir berlaku di kawasan Taman Bendahara kerana hujan berterusan selama dua hari. - Foto Sinar Harian/ Adila Sharinni Wahid

Taman Bendahara yang menempatkan Universiti Malaysia Kelantan dan deretan kedai dinaiki air setinggi 0.5 meter menyebabkan laluan ditutup serta tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Iklan

Kawasan pekarangan perumahan yang dilimpahi banjir. - Foto Sinar Harian/ Adila Sharinni Wahid

Seorang penduduk, Ahmad Alif Rahimi Azman, 19, berkata, selama 19 tahun tinggal di rumahnya di Taman Desa Pinggiran Golf, banjir tidak pernah memenuhi pekarangan rumah didiami untuk tempoh lama.

“Tahun lepas memang ada air selepas hujan dua hari berterusan, tetapi air bergenang taklah sampai lebih sejam.

Ahmad Alif Rahimi - Foto Sinar Harian/ Adila Sharinni Wahid

“Kali ini dah lebih enam jam dan lebih dalam, saya pun risau masuk ke dalam rumah,” katanya.

Sementara itu, pekerja kilang, Lukman Hakim Abdul Aziz, 27, berkata, kawasan taman perumahan di Pengkalan Chepa itu terkenal dengan kawasan tinggi yang tidak terjejas walau banjir buruk pada 2014.

Lukman Hakim - Foto Sinar Harian/ Adila Sharinni Wahid

“Kali ini, memang pelik dan kereta pun menggelak lalu di laluan jalan dipenuhi air kerana dalam.

“Tak pernah mereka lalu depan rumah, kali ini lalu sampai rapat dengan pagar untuk elak air,” katanya.