KUALA LUMPUR - Lima individu telah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung tiga tender perolehan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bernilai RM58.45 juta yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, Julai lalu.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus berkata, siasatan kini memasuki fasa penelitian terperinci terhadap dokumen dan proses perolehan bagi mengenal pasti sebarang unsur salah laku.
"Siasatan dijalankan secara komprehensif melibatkan penelitian dokumen, prosedur perolehan serta isu yang dibangkitkan dalam laporan audit.
"Setakat ini, lima individu telah dipanggil untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, selain siasatan jenayah rasuah, SPRM turut membuka kertas siasatan tatakelola bagi menilai tahap kepatuhan pengurusan perolehan UKM terhadap garis panduan yang ditetapkan.
"Aspek tatakelola tidak boleh dipandang ringan kerana ia menjadi benteng utama mengelakkan ketirisan serta penyalahgunaan kuasa dalam perolehan awam.
"SPRM kekal komited memastikan integriti sistem perolehan negara sentiasa terpelihara dan terus menjalankan siasatan dengan tegas serta profesional," katanya.
Terdahulu, isu tender tersebut mencuri perhatian selepas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menzahirkan kebimbangan baginda ketika Majlis Pengisytiharan Pembukaan Konvokesyen ke-53 UKM di Bangi.