Lebih 27,000 pekerja seluruh negara terima manfaat bawah DGP
Iklan
Steven (tengah) sedang mendengar penerangan di reruai yang dilawatinya di Festival Mega iLINDUNGu di Bukit Mertajam pada Sabtu.
BUKIT MERTAJAM - [DIKEMAS KINI] Lebih 27,000 pekerja di seluruh negara telah menerima manfaat di bawah Dasar Gaji Progresif (DGP) dalam tempoh 11 bulan pelaksanaannya, sekali gus menunjukkan keyakinan kukuh industri terhadap model gaji berasaskan kemahiran dan produktiviti.
Iklan
Iklan
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pencapaian itu membuktikan dasar baharu tersebut semakin diterima majikan dan pekerja termasuk dalam sektor profesional hingga operator mesin.
“Statistik setakat 17 November lalu menunjukkan lebih 45 peratus pekerja dalam kategori tersebut menikmati kenaikan gaji RM300 atau lebih.
Iklan
"Daripada jumlah itu, 22 peratus adalah belia, menandakan DGP berupaya menarik dan mengekalkan tenaga kerja muda yang penting untuk produktiviti negara,” katanya pada Sesi Libat Urus DGP dan Majlis Penghargaan Majikan DGP di Hotel The Light, Seberang Jaya pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO, Datuk Asri Ab Rahman.
Iklan
Steven menambah, peningkatan penyertaan majikan didorong oleh insentif kewangan bulanan yang dibayar PERKESO sehingga 2027, selain jaminan mendapat tenaga kerja lebih mahir, produktif dan stabil.
“Pendekatan DGP yang dilaksanakan secara sukarela dan berperingkat memberi ruang kepada majikan khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), menyesuaikan pelaksanaannya mengikut kemampuan masing-masing.
“Melihat kepada prestasi semasa, kerajaan menyeru lebih banyak majikan menyertai DGP sebagai pelaburan strategik untuk meningkatkan daya saing syarikat.
"DGP bukan sekadar dasar ekonomi tetapi reformasi struktur gaji yang memastikan peningkatan kemahiran diterjemahkan kepada ganjaran setimpal,” ujarnya.
Tambah beliau, lebih 250 majikan daripada pelbagai sektor industri turut menyertai sesi itu bagi memperkukuh pemahaman mengenai pelaksanaan DGP serta memberi maklum balas terus kepada kerajaan mengenai cabaran, peluang dan cadangan penambahbaikan dasar tersebut.
Dalam perkembangan lain, Steven berkata, kerajaan berpendirian tegas untuk tidak berkompromi dalam isu eksploitasi pekerja, sama ada melibatkan warga tempatan atau pekerja asing.
Beliau berkata, Malaysia telah menerima pengiktirafan antarabangsa berhubung komitmennya memerangi amalan eksploitasi tenaga kerja dan memastikan hak pekerja sentiasa dilindungi.
“Untuk makluman, kita sangat tegas dalam aspek undang-undang perburuhan.
"Malaysia memastikan eksploitasi pekerja tidak berlaku, tidak kira pekerja tempatan atau pekerja asing. Kita tidak boleh berkompromi,” katanya.
Steven menambah, pihaknya memandang serius semua aspek berkaitan kebajikan pekerja termasuk aduan, penguatkuasaan undang-undang perburuhan, pembayaran gaji dan penyediaan tempat tinggal yang sesuai.
Mengulas isu penahanan pasport pekerja, beliau menyifatkannya sebagai masalah lama yang berada di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia.
“Berhubung isu pasport, ini isu lama dan kita cukup tegas.
"Ini melibatkan Imigresen, tetapi saya yakin rakan-rakan di Kementerian Dalam Negeri berkongsi pendirian sama dengan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), tiada kompromi," ujarnya.
Beliau menegaskan setiap laporan berkaitan eksploitasi pekerja akan diteliti dan tindakan sewajarnya akan diambil.
“Jika ada laporan, kita akan ambil tindakan,” katanya.
Sebelum ini, pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan berhubung eksploitasi, penipuan dan hutang buruh yang semakin membelenggu pekerja migran Bangladesh dalam sektor pekerjaan di Malaysia.
Dalam satu kenyataan, kumpulan pakar itu berkata, amalan perekrutan palsu serta eksploitasi pekerja masih berlaku secara meluas dan sistematik, sekali gus menjejaskan hak asasi pekerja serta keluarga mereka.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara berkenaan telah dibincangkan dalam satu pertemuan melibatkan semua operator perkhidmatan kereta api termasuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) yang merupakan pemilik projek East Coast Rail Link (ECRL) serta Prasarana Malaysia (Prasarana) baru- baru ini.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/766625/berita/nasional/kecurian-kabel-rel-ada-keperluan-mendesak-pinda-undang-undang---menteri
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.