'Saya bantu gadis itu RM70, tak sangka ALLAH ganti RM300 hari sama' - Pak Cik Grab OKU

Iklan
Mohamad Safie menunjukkan kad OKU miliknya.

 

SEREMBAN -"Saya bagi dia RM70 untuk duit belanja dan tak sangka ALLAH gantikan dengan RM300 pada hari sama".

Iklan
Iklan

Demikian kongsi pemandu e-hailing warga emas, Mohamad Safie Rabian, 66, berkenaan hikmah di sebalik bantuan ikhlas yang diberikan kepada pelanggannya, seorang gadis yang sedang sakit baru-baru ini.

Sikap baik lelaki orang kurang upaya (OKU) fizikal ini telah diceritakan sendiri oleh gadis terbabit di media sosial Thread miliknya yang menggunakan nama Mirzahiraa.

Iklan

Menurut Mohamad Safie, dia tiada niat lain melainkan mahu membantu gadis berkenaan kerana bersimpati dengannya yang dilihat tidak sihat.

"Saya tak kenal pun dia dan dia menempah Grab saya dari kawasan Kemayan Square ke sebuah klinik di pekan Seremban.

Iklan

"Sebaik sampai di lokasi, saya nampak dia berjalan dalam keadaan lemah sambil menangis," katanya ditemui Sinar Harian.

Mohamad Safie tidak disangka bantuan kecil diberi dibalas ganjaran tidak disangka-sangka dari ALLAH

Dia kemudian bertanya lanjut keadaan gadis itu yang memberitahu bahawa dia mengalami sakit perut dan mahu segera ke klinik.

Namun, kata bapa kepada empat anak ini, melihat keadaan gadis itu yang tidak bermaya, dia tidak sampai hati membiarkannya uruskan semuanya seorang diri.

"Lagi pun dia beritahu tinggal sebatang kara di Seremban kerana ibu bapanya berada di Ipoh.

"Sebaik sampai di klinik, saya tanya berapa wang yang dia ada dan dia beritahu hanya ada RM30, saya kata duit itu tak cukup untuk bayar rawatan," katanya.

Laporan Sinar Harian berkenaan bantuan dihulurkan Mohamad Safie baru-baru ini.

Mohamad Safie kemudian mencadangkan kepada gadis itu supaya ke hospital kerajaan dan dia bersetuju.

Dipendekkan cerita ujarnya, ketika gadis itu sedang dirawat di zon kuning Hospital Tuanku Jaafar di sini, dia membuat keputusan membeli sebungkus roti dan sekotak minuman buat gadis tersebut mengalas perut.

"Saya terfikir mungkin yang gadis itu tak makan apa-apa lagi dan sebab itu saya pergi belikannya makanan.

"Bila saya tengok gadis itu, saya terfikir macam anak sendiri yang sakit dan saya sendiri pun pernah susah, pernah tak ada duit dalam poket.

"Tapi saya percaya yang ALLAH telah gerakkan hati saya untuk membantu," katanya.

Mohamad Safie yang kematian isteri Ramadan lalu mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing selepas bersara daripada perkhidmatan tentera laut 29 tahun lalu.

Ceritanya lagi, mengenang gadis terbabit yang jauh dengan keluarga, dia kemudian menghulurkan duit belanja RM70 kepadanya sebelum meninggalkannya di hospital.

Dia turut mengakui bimbang disalah erti cuba menggatal, namun naluri bapanya tidak dapat membendung perasaan bimbang terhadap gadis tersebut.

"Saya juga ada mesej dia minta beritahu perkembangan lanjut dan turut tawarkan bantuan untuk belikan barangan keperluan asas sekiranya ditahan di wad.

"Jujur cakap, saya tiada niat lain melainkan mahu membantu dan saya percaya yang ALLAH temukan saya dengan dia kerana nak uji saya sama ada sanggup membantu dia atau abaikannya," katanya.

Sementara itu Mohamad Safie yang kematian isteri Ramadan lalu berkata, dia mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing selepas bersara daripada perkhidmatan tentera laut 29 tahun lalu.

Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai pengalaman dilaluinya termasuklah menghantar pelanggan yang dalam keadaan nazak ke hospital.

"Alhamdulillah, dengan membawa e-hailing dapatlah saya menyara keluarga dan biasanya mampu memperoleh pendapatan RM150 setiap hari.

"Saya bukan saja hantar pelanggan di sekitar Negeri Sembilan tapi juga di merata-rata tempat bergantung kepada permintaan,"katanya.

Bagaimanapun ujarnya, pengalaman kali ini disifatkan luar biasa kerana dia mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka hanya kerana membantu menghantar seorang gadis ke hospital.

Tambahnya, selepas kisahnya itu tular, dia menerima sumbangan wang daripada beberapa individu tidak dikenali.

"Rupa-rupanya gadis itu beri nombor akaun bank saya kepada sesiapa saja yang tanyakan tentang saya dan sehingga ke hari ini ada saja hamba ALLAH yang bagi sumbangan.

"Saya betul-betul tak sangka dengan bantuan kecil yang sayabagi, ini yang ALLAH gantikan," katanya.