KOTA KINABALU - Saksi ke-49 inkues kematian Zara Qairina Mahathir menegaskan beliau tidak pernah berniat membuka aib mangsa ketika berkongsi kandungan diari pelajar itu dengan pihak sekolah.
Guru berkenaan, Yuslina Badrum mengakui di Mahkamah Koroner di sini, bahawa secara peribadi beliau juga tidak selesa sekiranya barang privasinya dikongsi dengan pihak lain.
Namun katanya, tindakan itu dibuat semata-mata untuk membantu siasatan dan mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung kejadian menimpa mangsa.
Ketika ditanya Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan, Yuslina mengesahkan bahawa semua diari yang dikongsikan berwarna ungu, hijau dan coklat merangkumi 15 helaian dalam bentuk dokumen digital (PDF) yang diserahkan kepada dua guru dan dua lagi pihak pentadbiran.
"Saya ingin tambah, saya ada berikan juga kepada pihak pentadbir sekolah, pengetua dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM)," katanya semasa menjawab soalan Hakim Koroner pada Jumaat.
Ditanya mengenai persepsinya terhadap isi kandungan diari tersebut, saksi berkata, setiap buku mempunyai inti penting tersendiri.
"Secara umum, Zara merupakan seorang yang agak sukakan kehidupan. Contohnya, dia sukakan persahabatan. Dia ada dua orang kawan baik setahu saya.
"Dia mahu berubah ke arah kebaikan dengan mencontohi seorang pengawas Badar yang dikaguminya. Bagaimanapun, dia juga ada sisi negatif berdasarkan pembacaan saya. Semua yang ditulis adalah hal peribadi," katanya.
Ditanya sama ada beliau memikirkan kesan berkongsi kandungan diari itu sedangkan Allahyarham tidak dapat membela diri, saksi menegaskan ia adalah untuk membantu siasatan.
"Tindakan saya itu hanya untuk membantu siasatan. Saya tidak berniat untuk membuka aib sesiapa.
"Saya rasa pentadbir adalah pihak yang patut tahu dan perlu bertanggungjawab terhadap apa maklumat yang kami ada," katanya.
Beliau bagaimanapun bersetuju dengan Hakim Koroner bahawa pihak sekolah hanya perlu mengetahui kewujudan diari, bukan keseluruhan kandungannya.
Ketika ditanya mengenai perasaannya sekiranya barang privasinya diperlakukan sedemikian, Yuslina secara jujur mengakui beliau sendiri tidak akan menyukainya.
“Memang tidak suka barang privasi diganggu, tetapi untuk kes ini, kita perlu melihat dari semua sudut bagi mencari penyelesaian terbaik,” katanya.
Sebelum ini, Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya.