Nas Daily dakwa berjaya masuk Malaysia guna pasport negara lain

Iklan
Foto yang dimuat naik Nas Daily di Facebook pada Ahad, dipercayai semasa lawatannya ke Melaka pada 2022 lalu.

SHAH ALAM - Pencipta kandungan digital, Nuseir Yassin atau lebih dikenali sebagai Nas Daily sekali lagi menjadi bualan ramai apabila mendakwa dirinya berjaya memasuki Malaysia menggunakan pasport negara lain.

Meskipun tidak mendedahkan tarikh masuk dan keluar, jejaka yang dipercayai warganegara Israel itu mendakwa memperoleh pasport kedua semata-mata untuk kembali ke Malaysia, selepas pernah dihalang memasuki negara ini kira-kira empat tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Saya disenarai hitam daripada memasuki Malaysia disebabkan pasport saya. Empat tahun lalu, saya berdiri di sempadan ini dan dinafikan kemasukan.

"Jadi, saya mendapatkan pasport kedua dan kembali semula. Kali ini, saya berjaya masuk," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Iklan

Nas Daily menambah, dirinya diberitahu tidak dibenarkan berada di negara ini.

Bagaimanapun, dakwa 'vlogger' itu lagi, penerimaan orang awam terhadapnya begitu positif.

Iklan

"Di dalamnya saya temui sesuatu yang tidak dijangka. Hutan hujan tropika menghijau, makanan murah serta budaya yang pelbagai. Kaum Melayu, Cina dan India hidup bersebelahan.

"Saya diberitahu bahawa saya tidak dibenarkan berada di sini. Tetapi apabila sudah berada di Malaysia, orang ramai menyambut saya dengan mesra. Itulah yang saya mahu ingat. Bukannya tentang kerajaan Malaysia tidak benarkan saya masuk, tetapi rakyatnya memilih untuk berbuat baik terhadap saya," ujarnya lagi.

Berdasarkan reaksi di Facebook, segelintir pengguna platform tersebut berasa teruja dengan keberadaannya di sini, namun tidak kurang juga yang mengecam tindakannya mendapatkan kewarganegaraan kedua semata-mata untuk memasuki Malaysia.

Malah, ada yang mendakwa jejaka itu hanya inginkan perhatian.

Sinar Harian pada 19 Oktober 2022 melaporkan, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ketika itu, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud mengesahkan warga Israel, Nas Daily pernah memasuki Malaysia pada 16 Oktober 2022, tetapi menggunakan pasport dari negara Saint Kitts and Nevis.

Jelas Khairul Dzaimee, Nas Daily memiliki dua kerakyatan iaitu Israel dan Saint Kitts and Nevis, sebuah negara dari kepulauan Caribbean.

Katanya lagi, individu itu masuk dan keluar Malaysia menggunakan pasport Saint Kitts and Nevis, manakala memasuki Singapura dengan pasport Israel.

Bagaimanapun, beliau berkata, Nas Daily tidak melakukan kesalahan di bawah peraturan imigresen kerana kelulusan untuk masuk menggunakan pas pelancong boleh diberikan semasa ketibaannya yang mengemukakan pasport Saint Kitts and Nevis.

Beliau menjelaskan, jika Nas Daily menggunakan pasport Israel, dia sama sekali tidak dapat melepasi sempadan pintu masuk negara kerana Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.