Kontena buah, pulau tidak berpenghuni jadi taktik sindiket seludup dadah

Iklan
Antara dadah jenis bunga ganja yang dirampas JKDM tahun ini. - Foto JKDM

SHAH ALAM - Kaedah tinggal dadah di pulau tidak berpenghuni selain menggunakan kontena bermuatan kargo seperti buah-buahan dan sayuran dari negara jiran antara taktik sindiket penyeludupan dadah yang dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, dalam tempoh 10 bulan tahun ini setakat Oktober, pihaknya merekodkan 594 kes dadah dengan rampasan mencecah RM459.3 juta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sindiket penyeludupan dadah menggunakan pelbagai modus operandi seperti perkhidmatan kurier yang menggunakan nama dan alamat palsu untuk penghantaran bungkusan.

"Selain itu, kita juga mengesan penyeludupan melalui pintu masuk sempadan negara dengan menggunakan individu yang membawa kenderaan.

Iklan

"Sindiket penyeludupan menggunakan ‘keldai dadah’ atau individu tertentu yang menyeludup menggunakan bagasi yang disimpan dalam kenderaan," ujarnya.

Anis (tengah) bersama Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) iaitu antara pasukan khas JKDM yang terlibat dalam operasi menumpaskan sindiket dadah. - Foto JKDM

Iklan

Selain itu katanya, terdapat juga taktik menggunakan kenderaan yang diubah suai dengan mewujudkan ruangan khas bagi menyembunyikan dadah.

"Penyeludupan menggunakan kontena-kontena yang bermuatan kargo seperti buah-buahan, sayuran dan makanan basah dari negara jiran juga dikesan dengan cara menyelitkan dadah bersama-sama komoditi berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, modus operandi lain ialah sindiket yang menggunakan kaedah 'drop point' iaitu meninggalkan dadah di lokasi tertentu untuk diambil oleh individu lain sebelum diedarkan.

Jelasnya, taktik sedemikian turut merangkumi tindakan meninggalkan dadah di pulau-pulau yang tidak berpenghuni bagi mengelakkan pengesanan oleh pihak berkuasa.

Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) JKDM. - Foto JKDM

Tambah Anis, langkah tegas diambil JKDM dalam usaha memastikan dadah dapat diseludup masuk ialah operasi Joint Task Force (JTF) bersama Indonesia yang berlangsung dari 1 hingga 31 Julai lalu di Sabah dan Sarawak dengan nilai rampasan sebanyak RM39.22 juta.

"Kita juga melaksanakan rutin pemeriksaan di pintu keluar masuk negara oleh pegawai yang bertugas di kawasan sempadan.

"Kawalan kawasan perairan negara juga dilaksanakan secara berkala dengan memfokuskan kawasan hotspot selain rondaan rutin oleh Unit Marin JKDM," ujarnya.

Kata beliau, penggunaan Anjing Pengesan Dadah (APD) JKDM turut ditambah baik menerusi penambahan aset berkenaan dan juga latihan berterusan, selain 'intelligence driven' ditingkatkan yang mana pegawai-pegawai risikan digerakkan untuk mendapatkan maklumat berkaitan penyeludupan.

Tegasnya, JKDM terus memperkukuh peranan sebagai agensi barisan hadapan dalam mempertahankan keselamatan negara khususnya dalam memerangi kegiatan penyeludupan dadah.

"Ini sekali gus mencerminkan keupayaan operasi yang teguh, kepakaran anggota serta keberkesanan strategi penguatkuasaan yang dilaksanakan," ujarnya.