HAMILTON - Human Rights Watch (HRW) pada Khamis berkata, pasukan Israel telah memaksa puluhan ribu penduduk Palestin berpindah dari tiga kem pelarian di utara Tebing Barat yang diduduki pada Januari lalu, dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa yang disifatkan sebagai 'jenayah perang'.
Laporan itu meneliti 'Operasi Iron Wall' iaitu operasi ketenteraan berskala besar Israel yang bermula di kem pelarian Jenin pada 21 Januari lalu sebelum diperluaskan ke kem Tulkarem dan Nur Shams dan beberapa kawasan lain di utara Tebing Barat, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut HRW, operasi itu telah mengosongkan kem-kem yang menempatkan kira-kira 32,000 orang, menjadikannya pemindahan terbesar rakyat Palestin di Tebing Barat sejak 1967.
Seorang penduduk yang dipindahkan, Nadim M, 60, bapa kepada empat anak memberitahu HRW, tentera Israel 'mengikat tangannya menggunakan tali zip, menggeledah kediamannya dan kemudian mengarahkan dia dan keluarganya keluar, sambil memberi amaran bahawa jika mereka bergerak ke kiri atau ke kanan, mereka akan menjadi sasaran penembak tepat Israel yang ditempatkan di lokasi berhampiran'.
Laporan itu menyatakan bahawa pasukan Israel turut merobohkan 850 rumah dan bangunan lain serta gagal mengambil 'langkah bermakna untuk memastikan pemindahan orang awam secara selamat dan bermaruah', selain mengabaikan keperluan golongan kurang upaya.
"Pasukan Israel telah melakukan pemindahan paksa yang melanggar undang-undang pendudukan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, yang merupakan jenayah perang,” kata HRW.
Kumpulan hak asasi manusia itu juga menegaskan bahawa tindakan itu memenuhi takrif 'pemindahan paksa penduduk dan perbuatan tidak berperikemanusiaan lain sebagai sebahagian serangan meluas atau sistematik terhadap penduduk awam', yang merupakan jenayah terhadap kemanusiaan di bawah Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Pertubuhan itu menuntut Israel menghentikan perobohan, membenarkan penduduk kembali ke kawasan mereka, memenuhi keperluan kemanusiaan dan bekerjasama dengan siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Menjawab pertanyaan Anadolu mengenai laporan terbabit, jurucakap PBB Stephane Dujarric mengulangi pendirian PBB pada sidang media.
"Kami telah lama menyuarakan apa yang berlaku di Tebing Barat.
"Kami sedia maklum mengenai laporan yang dikeluarkan Human Rights Watch hari ini dan wakil kami sama ada di lapangan mahupun di hadapan Majlis Keselamatan telah menjelaskan keadaan di Tebing Barat, khususnya nasib orang awam Palestin, termasuk ketika musim menuai zaitun yang sedang berlangsung,” katanya.
PBB telah mengangkat isu tersebut secara langsung, baik secara tertutup mahu pun terbuka dengan pihak berkuasa Israel dan akan terus berbuat demikian, kata beliau.
Tentera Israel meningkatkan serangan di Tebing Barat yang diduduki sejak tercetusnya perang di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023.
Lebih 1,076 penduduk Palestin terbunuh manakala 10,700 lagi cedera akibat serangan tentera Israel dan pendatang haram di wilayah itu. Lebih 20,500 individu turut ditahan. - Bernama-Anadolu