TULAR perdebatan usia sesuai untuk beri telefon pintar. Ada mak ayah kata 10 tahun dah perlu. Ada kata tadika pun dah wajib sebab mudah nak pantau.
Tapi Merak Jalanan selalu terfikir...Adakah kita sebenarnya sedang bagi kuasa terlalu besar kepada jiwa yang belum tahu beza khayal dan realiti?
Telefon pintar bukan sekadar telefon. Ia umpama pintu dan di sebalik pintu itu ada dunia yang kadang-kadang orang dewasa pun gagal mengemudi.
Anak bawah usia 18 tahun, jiwa mereka masih lembut, masih mudah terbentuk, masih senang percaya apa yang disajikan di skrin. Tapi kita hulurkan peranti yang lebih luas daripada pengalaman hidup mereka.
Kemudian kita hairan bila muncul macam-macam perangai pelik. Ramai masalah sosial generasi muda bermula dari satu objek kecil yang sentiasa menyala di tangan yakni gajet yang tak pernah tidur.
Dari skrin itu datang perbandingan yang tak sudah, pendedahan luar batas, tekanan yang tak layak dipikul dan kematangan palsu yang hanya cantik di permukaan.
Anak belum sampai usia 18 belum cukup kuat untuk menapis apa yang masuk ke dalam hati. Belum cukup matang menilai beza antara gurauan dan penghinaan. Belum cukup stabil menolak pengaruh yang membungkus racun dalam bentuk hiburan.
Lebih ironi, bila telefon pintar diberi terlalu awal, dunia sebenar tiba-tiba jadi sunyi. Makan senyap. Bercakap pun kurang. Dan kehidupan perlahan-lahan ditelan cahaya skrin.
Orang yang benar-benar sayang anak tahu, bukan semua kemudahan adalah kebaikan. Kadang-kadang penangguhan itulah tanda kasih paling besar.
Akhirnya, Merak Jalanan percaya telefon pintar sepatutnya bermula pada usia 18 tahun, ketika akal lebih kukuh, hati lebih tebal dan prinsip sudah ada bentuk.
Biarlah mereka kenal dunia sebenar dahulu sebelum kita benarkan mereka jelajah langit maya tanpa sempadan.