Kesihatan mental belia bukan main-main

Iklan
Ramai belia yang ada simptom serius tetapi tidak dapat rawatan awal kerana malu atau tak tahu nak minta bantuan. Foto hiasan

KALAU kita lihat sekeliling, isu kesihatan mental dalam kalangan belia sekarang semakin hangat diperkatakan.

Bukan saja di media sosial, tapi juga dalam laporan rasmi. Belia sekarang lebih ramai rasa tertekan, cemas malah ada yang sampai terfikir untuk membahayakan diri sendiri.

Iklan
Iklan

Statistik pun tidak menipu kerana menurut kajian Malaysian Youth Mental Health Index (MyMHI’23), lebih separuh belia Malaysia mengalami simptom kemurungan dalam tahap ringan hingga serius.

Ada banyak sebab kenapa belia hari ini berdepan tekanan mental.

Iklan

Pertama, tekanan akademik memang tidak boleh dipandang remeh. Daripada sekolah menengah sampai universiti, beban kerja, peperiksaan dan saingan sengit boleh buat siapa sahaja rasa 'overwhelmed'.

Bayangkan kalau kerja rumah, tugasan dan projek semua datang serentak, tidak hairan ramai yang rasa tertekan.

Iklan

Kedua, masalah kewangan juga main peranan besar. Ramai belia risau pasal duit, untuk yuran, kos hidup harian atau untuk menampung diri sendiri.

Bila duit tidak cukup, tekanan dan anxiety pun meningkat. Tambahan pula, sokongan sosial kadang-kadang kurang, tidak semua belia ada keluarga atau kawan rapat yang boleh dijadikan tempat meluahkan perasaan.

Ketiga, ada juga faktor stigma. Ramai yang takut nak cari bantuan kerana risau orang sekeliling label mereka 'gila' atau 'lemah'.

Tambahan pula, selepas pandemik, cabaran hidup moden dan perubahan sosial membuatkan tekanan mental belia jadi lebih kompleks.

Kesannya bukan main-main. Daripada segi akademik, pelajar yang tertekan mungkin tidak boleh fokus dan prestasi pun merosot.

Daripada segi sosial, hubungan dengan kawan dan keluarga boleh terjejas. Selain itu, daripada segi ekonomi, belia yang mengalami masalah mental sukar bekerja atau kekal produktif.

Jika dibiarkan, risiko bunuh diri pun meningkat dan ini memang membimbangkan.

Jadi jelas, kesihatan mental bukan isu kecil, ia mempengaruhi seluruh kehidupan belia dan kalau tidak diurus dengan baik, boleh beri kesan jangka panjang kepada masyarakat dan negara.

Kerajaan dan institusi pendidikan sudah mula ambil langkah.

Contohnya, lebih banyak kaunselor ditempatkan di sekolah dan universiti serta talian bantuan seperti Talian HEAL 15555 disediakan untuk belia yang perlukan sokongan.

Program kesedaran mental pun semakin banyak, termasuk kempen di media sosial dan aktiviti di sekolah.

Bagaimanapun cabaran utama masih ada iaitu stigma sukar dihapuskan dan sumber profesional masih terhad.

Banyak belia yang ada simptom serius tetapi tidak dapat rawatan awal kerana malu atau tak tahu nak minta bantuan.

Jadi, apa yang boleh kita buat? Ada beberapa langkah antaranya menambah perkhidmatan mental untuk belia, lebih banyak kaunselor, klinik komuniti dan talian krisis.

Selain itu, mengajar belia tentang kesihatan mental, galakkan perbincangan terbuka dan normalisasi isu ini.

Antara lain, mendapat sokongan keluarga dan komuniti iaitu kawan, keluarga dan guru.

Semua ini boleh jadi tempat belia meluahkan masalah. Selain itu, mengadakan program sosial dan ekonomi iaitu bantuan kewangan, biasiswa, aktiviti rekreasi dan pembangunan kemahiran boleh kurangkan tekanan hidup.

Kesimpulannya, masalah kesihatan mental belia memang serius, tapi masih boleh diatasi jika semua pihak bekerjasama iaitu kerajaan, sekolah, keluarga, komuniti dan belia itu sendiri.

Kita semua perlu faham bahawa tekanan, cemas atau kemurungan bukan tanda kelemahan sebaliknya ia adalah cabaran yang wajar dihadapi dan perlu dibantu.

Dengan kesedaran, sokongan dan langkah-langkah yang betul, belia boleh lebih kuat, sihat mental dan bersedia menghadapi kehidupan dengan lebih positif.

*Syajaratulhuda Mohd Rosli ialah wartawan Sinar Harian