JIM kesan pekerja asing guna ePLKS palsu di Cameron Highlands

Iklan
Zakaria (dua dari kiri) melihat pasport milik warga asing dalam Ops Gempur di sini pada Khamis.

CAMERON HIGHLANDS – Penggunaan e-Pas Lawatan Kerja Sementara (ePLKS) palsu oleh pekerja asing dikesan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Ops Gempur yang dijalankan di sini pada Khamis.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, setakat ini seramai 468 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut, termasuk semakan kesahihan ePLKS yang dibawa.

Iklan
Iklan

“Ramai individu didapati menggunakan e-Pas Lawatan Kerja Sementara (ePLKS) palsu dan kes-kes seperti ini akan disiasat lanjut termasuk menjejaki ejen yang mengeluarkan pas berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan pada Khamis.

Zakaria berkata, operasi itu dibahagikan kepada empat zon utama dan melibatkan seramai 1,886 individu yang diperiksa.

Iklan

“Daripada jumlah tersebut, seramai 388 lelaki, 76 perempuan berusia antara 20 hingga 54 tahun, serta empat kanak-kanak turut diperiksa.

“Berdasarkan pecahan tangkapan, majoritinya terdiri daripada warga Myanmar, diikuti Bangladesh dan Indonesia,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, operasi berkenaan melibatkan 547 pegawai dari seluruh negara dan dilaksanakan di sekitar Cameron Highlands.

“Operasi ini dirancang sejak sebulan lalu susulan banyak aduan dan risikan terhadap warga asing yang terlibat dalam aktiviti perniagaan dan pertanian.

“Lokasi tumpuan operasi termasuk premis perniagaan, gerai sayur dan buah, kawasan pembinaan serta kebun sayur di sekitar Cameron Highlands,” katanya.

Zakaria turut memberi amaran kepada majikan supaya hanya berurusan dengan ejen berdaftar atau terus dengan JIM bagi mengelak ditipu atau terlibat dengan penggunaan pas palsu.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, seramai 83,994 individu telah ditahan di seluruh negara sehingga November.

“Tindakan tegas akan terus diambil oleh pihak JIM dalam memerangi isu PATI. Operasi seumpama ini akan diteruskan di seluruh negara bagi memastikan warga asing yang tiada pas sah tidak terus bekerja dan menetap di negara ini,” katanya.