Bas sekolah lima tahun tiada cukai jalan

Iklan
Bas sekolah yang membawa 19 murid dikesan telah tamat cukai jalan sejak lima tahun lalu

RAWANG – Alasan seorang pemandu bas kononnya baru membeli kenderaan serta tidak sempat menguruskan dokumentasi gagal apabila ditahan dalam Ops Van Sekolah Haram di Bukit Sentosa pada Rabu.

Lebih mengejutkan, siasatan mendapati bas membawa 19 murid itu telah tamat cukai jalan sejak lima tahun lalu selain mengundang risiko besar terhadap keselamatan pelajar yang dibawanya.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, bas itu dikesan hasil pemeriksaan pegawai dan anggota JPJ pada jam 12.19 tengah hari.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan serius dilakukan pemandu tempatan berusia 23 tahun itu.

Iklan

"Pemandu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen sah yang diperlukan untuk kenderaan perdagangan.

"Pemeriksaan juga mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh sejak 11 Disember 2020, tiada insurans, tiada pemeriksaan Puspakom yang sah serta pemandu tidak memiliki CDL dan PSV yang diwajibkan untuk membawa penumpang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Katanya, alasan bahawa kenderaan itu baru dibeli tidak boleh diterima kerana pengusaha pengangkutan pelajar wajib memastikan setiap kenderaan mematuhi undang-undang sebelum digunakan.

"Ini bukan soal masa atau keselesaan pemandu, ini soal nyawa pelajar.

"Tindakan tegas perlu diambil kerana kecuaian seperti ini boleh menyebabkan risiko tidak diingini," katanya.

Menurutnya sebanyak 13 saman dikeluarkan, sementara bas berkenaan disita untuk tindakan lanjut.

"JPJ Selangor akan terus mempergiat pemantauan terhadap kenderaan perdagangan termasuk kenderaan yang beroperasi tanpa mematuhi syarat keselamatan.

"Orang awam digalakkan menyalurkan aduan kesalahan trafik melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau aplikasi e-Aduan dengan memberikan butiran lengkap bagi membantu tindakan penguatkuasaan," katanya.