KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seramai 16,951 remaja hamil yang berusia 19 tahun ke bawah dan tidak berkahwin telah direkodkan di fasiliti kerajaan bagi tempoh 2020 hingga 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 41,842 remaja hamil berusia 19 tahun ke bawah, sama ada yang telah berkahwin atau tidak.
“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, lebih kurang 50 peratus adalah Melayu, Iban (11 peratus), Orang Asli Semenanjung (sembilan peratus), Cina (lima peratus), India (tiga peratus) dan selebihnya pelbagai etnik yang lain,” katanya.
“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, lebih kurang 50 peratus adalah Melayu, Iban (11 peratus), Orang Asli Semenanjung (sembilan peratus), Cina (lima peratus), India (tiga peratus) dan selebihnya pelbagai etnik yang lain,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab Mohd Misbahul Munir Masduki (Perikatan Nasional–Parit Buntar) mengenai jumlah remaja hamil tanpa nikah mengikut kaum dari tahun 2020 hingga terkini dan apakah langkah bagi mengatasi isu tersebut.
Ujar Nancy, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan melancarkan Dasar Keluarga Negara dan Pelan Tindakan Keluarga Negara yang baharu sebagai usaha memperkasakan keluarga untuk kestabilan sosial.
“Antara teras yang digariskan adalah untuk memperkasakan keupayaan perancangan keluarga menerusi usaha memperkukuhkan peranan ibu bapa dan remaja.
“Usaha membendung isu kehamilan remaja luar nikah ini wajar digembleng bersama oleh semua pihak demi masa depan generasi muda kita yang lebih sejahtera,” ujar beliau.
Menurutnya, kementerian melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani isu berkenaan, termasuk pemerkasaan pendidikan kesihatan reproduktif, kaunseling dan sokongan komuniti.
“Antara inisiatif itu ialah pembangunan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif serta melahirkan masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan berdaya tahan.
“Di bawah pelan ini, penekanan diberikan kepada pembangunan kemahiran kesihatan reproduktif secara positif dan selamat melalui pendidikan formal di sekolah dan juga pendidikan tidak formal di luar sekolah,” menurut Nancy.
Ujar beliau, KPWKM menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) menyediakan khidmat sokongan untuk remaja melalui Pusat Remaja KafeTEEN dan Program Sahabat KafeTEEN di sekolah.
“KafeTEEN adalah inisiatif LPPKN bagi menyediakan ruang bimbingan dan pendidikan remaja bagi melahirkan remaja yang positif fizikal, mental serta pergaulan sosialnya.
“Aksesibiliti khidmat sokongan remaja diperluaskan menerusi 18 buah Pusat Remaja KafeTEEN, sebuah Trak KafeTEEN dan program di dalam komuniti dengan menyediakan perkhidmatan klinik kesihatan reproduktif, serta khidmat kaunseling psikososial,” katanya.