GEORGE TOWN - Penduduk Bandar Sri Pinang dan komuniti sekitar Persiaran Karpal Singh mendakwa kawasan kediaman mereka bakal berdepan bencana alam sekitar berpanjangan sekiranya cadangan projek penambakan dan kerja kitar semula sisa tapak pelupusan di perairan berhampiran diteruskan.
Sehubungan itu, lebih 20 penduduk di kawasan berkenaan berkumpul secara aman di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bagi menyerahkan satu memorandum kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Ketua Pembangkang, Muhammad Fauzi Yusoff.
Memorandum berkenaan dikemukakan oleh penduduk bersama Jawatankuasa Bertindak Protect Karpal Singh Drive (ProtectKarpal) yang menolak cadangan penambakan laut dan aktiviti pengorekan serta kitar semula sisa tapak pelupusan secara terbuka di hadapan Persiaran Karpal Singh.
Jurucakap ProtectKarpal, Dr K Ganesh berkata, projek tersebut bukan sahaja menggugat identiti kawasan itu sebagai ruang awam, malah dijangka mengundang kesan kesihatan dan kemerosotan kualiti hidup penduduk untuk tempoh antara 20 hingga 30 tahun akan datang.
Menurutnya, penduduk tidak menentang usaha memulihkan Tapak Pelupusan Jelutong jika ia dilakukan mengikut kaedah selamat.
Namun katanya, keperluan pemulihan untuk membuka jalan kepada penambakan baharu dan mewujudkan zon kitar semula berskala industri di hadapan kediaman penduduk serta sekolah dianggap satu tindakan yang tidak munasabah.
"Projek tersebut berisiko mengancam kesihatan awam terutamanya kanak-kanak dan warga emas berikutan potensi gangguan habuk, bunyi bising serta pelepasan gas beracun daripada bahan buangan.
"Kami turut bimbang terhadap kesan besar ke atas ekosistem Middle Bank yang telah diiktiraf sebagai kawasan kritikal bagi habitat rumpai laut dan pelbagai spesies ikan," katanya ketika ditemui pada Khamis.
Selain itu katanya, penduduk menjangkakan peningkatan trafik berat, kesesakan dan aktiviti pembinaan berpanjangan yang mampu menjejaskan keselamatan serta ketenteraman kejiranan mereka.
"Bagi kami, Persiaran Karpal Singh bukan sekadar kawasan tepi laut tetapi ruang rekreasi masyarakat yang membawa nilai simbolik kerana dinamakan sempena mendiang Karpal Singh.
"Jika projek penambakan itu diteruskan, generasi akan datang tidak lagi menikmati udara laut yang segar, sebaliknya terpaksa menghidu habuk pembinaan dan gas berbahaya," ujarnya.
Mengulas mengenai memorandum berkenaan, Ganesh berkata, penduduk menuntut agar kerajaan negeri mengamalkan pendekatan pemulihan tanpa penambakan dengan mengehadkan kerja pemulihan di dalam kawasan Tapak Pelupusan Jelutong yang sedia ada menggunakan kaedah yang lebih selamat dan berasaskan amalan terbaik.
"Penduduk juga menggesa agar perlindungan Middle Bank diperkukuhkan termasuk melalui usaha ke arah pengiktirafan kawasan itu sebagai kawasan pemuliharaan taman laut.
"Kami mahu proses membuat keputusan dilaksanakan secara telus dan berdasarkan sains dengan kerajaan mendedahkan sepenuhnya laporan teknikal termasuk Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang disemak semula dan Penilaian Kesan Kesihatan (HIA).
"Penduduk turut menuntut libat urus bermakna bersama komuniti nelayan, penduduk, sekolah dan perniagaan kecil sebelum sebarang projek pembangunan pesisir diluluskan," katanya.
Menurutnya, isu tersebut bukan soal politik, sebaliknya menyentuh kepentingan awam, keadilan alam sekitar dan tanggungjawab antara generasi.
"Perbezaan politik harus diketepikan dalam isu ini kerana semua pihak berkongsi keperluan asas seperti udara bersih, kejiranan selamat dan alam sekitar yang terpelihara. Kerosakan laut dan ekosistem marin bukan sesuatu yang mudah dipulihkan jika ia sudah berlaku.
"Oleh itu, kami memohon maklum balas rasmi daripada pimpinan kerajaan negeri dan berikrar untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa serta pertubuhan masyarakat sivil dalam memastikan isu ini ditangani secara bertanggungjawab demi masa depan komuniti setempat," ujarnya.
Katanya lagi, ia merupakan kali kedua memorandum rasmi diserahkan selepas serahan pertama pada Jun lalu yang didakwa masih belum menerima maklum balas daripada kerajaan negeri.
Mac lalu, Kon Yeow dilaporkan berkata, projek penambakan tanah yang dicadangkan dari Tapak Pelupusan Jelutong sehingga Persiaran Karpal Singh tidak akan melibatkan kawasan perlindungan marin Middle Bank.
Kon Yeow turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri memastikan kawasan marin berkenaan tidak akan terjejas dalam cadangan projek penambakan tanah yang masih menunggu kelulusan EIA daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu.