Astro siar Piala Sultan Azlan Shah edisi Ke-31 secara langsung

Iklan
Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-31 berlangsung dari 23 hingga 30 November 2025 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Perak.

ASTRO sekali lagi bakal memeriahkan arena hoki tanah air dengan menyiarkan secara langsung Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-31 yang berlangsung dari 23 hingga 30 November 2025 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Perak.

Kejohanan jemputan tertua di Asia itu bakal menyaksikan pertembungan pasukan elit dunia termasuk Belgium, India, New Zealand, Korea Selatan, Kanada serta Malaysia selaku tuan rumah dalam perebutan trofi berprestij ini.

Iklan
Iklan

Aksi pembukaan menyaksikan pertembungan India menentang Korea Selatan pada 23 November jam 4 petang.

Namun, tumpuan pasti tertumpu kepada perlawanan Malaysia menentang India pada 26 November jam 8 malam, di mana skuad The Speedy Tigers membawa misi membalas kekalahan kepada India dalam saingan Piala Asia sebelum ini.

Iklan

Sejak penubuhan Astro Arena pada 2010, Astro terus komited sebagai penyiar rasmi kejohanan ini, memberikan liputan menyeluruh kepada semua peminat hoki tanah air sambil memperkukuh pembangunan sukan hoki negara.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, Astro bangga meneruskan tradisi menyiarkan kejohanan yang menjadi simbol warisan dan semangat kesukanan negara, sambil memperkukuh pembangunan hoki tempatan.

Iklan

“Piala Sultan Azlan Shah bukan sahaja kejohanan antarabangsa, tetapi simbol warisan dan semangat kesukanan Malaysia di mata dunia.

“Tahun lalu, kejohanan ini menarik lebih dua juta tontonan, mencerminkan minat luar biasa peminat hoki tempatan.

“Astro juga menyiarkan aksi bertaraf antarabangsa lain seperti Piala Asia dan Piala Negara-Negara bagi menyokong pembangunan hoki tempatan dan serantau,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang, Astro turut memperbaharui kerjasama dengan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) selama lima edisi lagi sebagai penyiar rasmi Piala Sultan Azlan Shah.

Bagi meningkatkan pengalaman tontonan, Astro akan membawakan liputan langsung dari padang bersama hos dan lagenda hoki negara termasuk Datuk Mirnawan Nawawi, Azlan Misron dan Maninderjit Singh yang akan memberikan analisis serta pandangan taktikal sepanjang kejohanan berlangsung.