Kes 11 PATI bot karam di Langkawi terpaksa ditangguh

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 9 November lalu.

LANGKAWI – [KEMAS KINI] Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu terpaksa menangguhkan kes 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terselamat selepas bot dinaiki mereka karam di perairan sempadan Malaysia - Thailand pada dua minggu lalu.

Hakim Mirza Mohamad membuat keputusan tersebut selepas kesemua tertuduh tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu atas pertuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen sah.

Iklan
Iklan

Kesemua tertuduh terdiri daripada sembilan warga Myanmar, dua warga Bangladesh dan seorang yang belum dapat dipastikan kewarganegaraannya.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu pada 8 November lalu di perairan Langkawi.

Iklan

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan jurubahasa disediakan dan laporan pergigian dikemukakan bagi mengesahkan umur beberapa tertuduh yang masih remaja.

Tertuduh terdiri daripada tujuh lelaki Myanmar iaitu Rozibullah, Muhamad Yasin, Nurhossain dan Mofizuirahaman yang masing-masing berusia 17 tahun; Eman Shorif, 18; Anowar Hason, 21; dan Rahmatullah, 43 dan seorang wanita Myanmar, Senowara, 28.

Iklan

Dua lagi lelaki adalah warga Bangladesh, Sayed Alam, 20, dan Mohamad Norul Kobir Nuro, 24; manakala Abdul Salam, 24, pula kewarganegaraannya belum dikenal pasti.

Timbalan Pendakwa Raya, Ain Nur Sofea Noridan mengendalikan pendakwaan, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut tidak membenarkan jaminan terhadap mereka.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 300 migran dipercayai etnik Rohingya dan warga Bangladesh berlayar dari Buthidaung, Myanmar menggunakan sebuah kapal induk selama dua minggu sebelum dipindahkan ke bot lebih kecil.

Bot kecil yang membawa kira-kira 70 migran itu kemudian karam berhampiran Pulau Tarutao, menyebabkan 14 orang terselamat, 29 maut di perairan Langkawi dan kira-kira 10 mayat lagi ditemukan di perairan Thailand oleh pihak berkuasa negara jiran.