MAIPk berjaya ubah asnaf jadi pembayar zakat

Iklan
Syamsul Hazema (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Pakya Sepahtu yang merupakan Ikon ZAPAR sempena program ZACT 1.0 anjuran ZAPAR di sebuah hotel di sini pada Selasa.

IPOH – Hasrat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk melahirkan lebih ramai asnaf yang mampu berdikari akhirnya menampakkan hasil apabila sebahagian peserta Program Pemerkasaan Asnaf kini kembali sebagai pembayar zakat.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, pendekatan komprehensif merangkumi latihan kemahiran, bantuan modal, bimbingan berterusan serta pembangunan kerohanian menjadi faktor utama kejayaan kumpulan asnaf tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setakat ini ada peserta yang sudah mula membayar zakat serendah RM10 sebulan, malah ada yang sudah menyumbang sehingga ribuan ringgit hasil peningkatan pendapatan bulanan mereka.

Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk, Suhaimi Yusuf (berdiri kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sempena program ZACT 1.0 anjuran ZAPAR di Taman Jati di sini pada Selasa.

Iklan

"Ada satu kumpulan yang baharu enam bulan kita bimbing dalam bidang baiki telefon bimbit. Walaupun belum habis tempoh pemantauan, 80 peratus daripada mereka sudah mampu menjana pendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000, manakala beberapa orang mencapai pendapatan antara RM15,000 hingga RM25,000 sebulan.

"Malah sebahagian mereka sudah menjadi pembimbing kepada kumpulan baharu," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada program Zakat Care Tour (ZACT) 1.0 anjuran Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Iklan

Menjelaskan lebih lanjut, Syamsul Hazeman berkata, peserta Program Pemerkasaan Asnaf dilatih secara intensif merangkumi kemahiran produk, pemasaran, pengurusan kewangan dan modul kerohanian.

"Kita pantau mereka selama tiga hingga enam bulan. Dari tak tahu solat hingga sempurna lima waktu, daripada tidak faham asas fardu ain hinggalah jelas tanggungjawab sebagai Muslim. Semua kita bimbing.Apabila mereka sudah stabil dan mampu berdikari, barulah kita lepaskan.

"Kita juga nak pembayar zakat tahu bahawa setiap sen yang mereka keluarkan benar-benar kembali kepada golongan yang memerlukan dan hari ini sebahagian daripada golongan itu sudah pun mampu menyumbang semula," katanya.

Beliau menegaskan, kejayaan melahirkan asnaf sebagai pembayar zakat bukan sekadar angka, tetapi bukti keberkesanan pelaburan zakat yang kembali memberi manfaat kepada ummah.

Mengulas kutipan zakat tahun ini, Syamsul Hazeman berkata MAIPk menyasarkan kutipan RM270 juta dan setakat ini sejumlah RM190 juta berjaya dikumpul.

Menurutnya, trend masyarakat yang cenderung menunggu hujung tahun untuk menunaikan zakat khususnya zakat pendapatan dan perniagaan dijangka melonjakkan kutipan pada Disember.

"Kalau ikut trend tahun lepas, Disember sahaja kita kutip RM50 juta. Tahun ini kita jangka kutipan antara RM40 juta hingga RM50 juta dalam bulan itu.

"Kita positif mampu capai sasaran yang ditetapkan untuk tahun ini," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa jumlah agihan MAIPk kini melebihi kutipan dengan RM230 juta telah diagihkan sepanjang tahun.

Menurutnya, keperluan agihan kepada asnaf sebenarnya jauh lebih besar daripada sasaran kutipan RM270 juta dan MAIPk berharap pembayar zakat terus konsisten menunaikan zakat sepanjang tahun.

Dalam masa sama, Syamsul Hazeman berkata wakaf turut menjadi salah satu komponen penting membantu kelangsungan projek-projek yang dirancangkan MAIPk.

Melalui platform Wakaf Perak Al Ridzuan, masyarakat kini boleh berwakaf serendah RM1, sama ada melalui potongan gaji atau saluran dalam talian.

Antara projek wakaf yang sedang berjalan termasuk rumah inap untuk pesakit dan keluarga di Hospital Teluk Intan serta Wakaf Business Center bersama Majlis Daerah Batu Gajah.

Syamsul Hazeman berkata, MAIPk turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan banduan melalui program tahfiz dan kemahiran di Penjara Tapah serta Pusat Koreksional Batu Gajah.