Remaja rogol gadis 16 tahun dihantar ke Henry Gurney

Iklan
Seorang pesalah muda diperintahkan ke Sekolah Henry Gurney sehingga berusia 21 tahun atas pertuduhan merogol seorang remaja Ogos lalu. - Gambar hiasan

SEREMBAN - Seorang pesalah muda diperintahkan ke Sekolah Henry Gurney sehingga berusia 21 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan merogol seorang remaja yang dikenalinya menerusi aplikasi dalam talian, Ogos lalu.

Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Muhammad Zulhakimi Zulhilmi yang berusia 18 tahun 11 bulan mengaku bersalah di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan pada prosiding laporan sosial dan hukuman.

Iklan
Iklan

Beliau turut menasihatkan pesalah muda berkenaan supaya menggunakan kesempatan untuk belajar ilmu kemahiran dan mengambil semula Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah merogol seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Taman Kemuning di sini antara jam 3.30 hingga 4 pagi pada 30 Ogos lalu.

Iklan

Berdasarkan fakta kes, mangsa ke pusat karaoke bersama seorang rakan sebelum menghantar pesanan ke Telegram tertuduh yang baru dikenalinya melalui aplikasi Leo.

Mangsa meminta tertuduh supaya menghantarnya ke rumah, namun ketika dalam perjalanan lelaki itu membawa pelajar Tingkatan Empat berkenaan ke sebuah rumah.

Iklan

Mangsa dipaksa masuk ke rumah itu melalui pintu belakang seterusnya dibawa ke satu bilik sebelum dirogol dan kemudian menghantar mangsa pulang ke rumah.

Peguam Jabatan Bantuan Guaman (JBG), Hanis Anisah Jamiludin yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang minimum dengan mencadangkan menjalani program khidmat masyarakat.

Katanya, pesalah baru berusia 18 tahun dan bekerja sebagai buruh binaan yang mana tertuduh mempunyai tiga adik masih bersekolah.

"Tertuduh berminat untuk mempelajari bidang kemahiran selain memaklumkan sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu,"katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal mengambil kira kekerapan kes jenayah seksual dan kepentingan awam.

Pegawai Khidmat Sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengemukakan laporan sosial yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.