Riyadh, ARAB SAUDI – Bir, kacang dan skrin besar menayangkan acara sukan... suasana yang sinonim dengan pub di seluruh dunia.
Di ibu kota Arab Saudi, pelanggan berjubah putih atau berpurdah hitam menikmati bir tanpa alkohol, tanpa perlu risau mabuk atau pening esok pagi.
“Idea kami ialah bagi pelanggan satu pengalaman unik yang boleh mereka kongsi di media sosial,” kata pengurus kafe A12 di Riyadh, Abdallah Islam kepada AFP.
Di kafe tersebut, wanita Saudi mengangkat niqab mereka seketika untuk meneguk 'bir' sejuk.
“Ada alkohol ke dalam ni?” tanya seorang pelanggan, memandang gelasnya dengan ragu-ragu.
Pemandangan janggal wanita berniqab memegang gelas di pub, mencerminkan perubahan yang sedang berlaku dalam kerajaan itu.
Kafe A12, terletak di salah satu laluan paling sibuk di Riyadh, mempamerkan gambar besar segelas bir berbuih di kaca pintunya.
Menurut pengurus, kafe itu sentiasa penuh sejak April apabila ia mula menyajikan bir tanpa alkohol — Warsteiner Jerman 0.0% alkohol — dalam mug besar bersama kacang, ala pub.
Lelaki muda berjubah putih merakam video sambil minum, sementara pelayan menarik bir di bar hitam berkilat.
Ada yang menonton bola sepak di televisyen sambil menikmati minuman mereka.
Sejak pemerintahan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, pawagam dibuka semula, wanita dibenarkan memandu, dan pelancong asing mula dialu-alukan.
Tetapi soal alkohol kekal garis merah.
Pada Januari 2024, negara itu membuka kedai arak pertama di Riyadh, tetapi hanya untuk diplomat bukan Muslim.
Namun alkohol tidak akan dihidang pada Piala Dunia 2034, kata duta Saudi di London kepada sebuah penyiar British tahun ini.
“Kerajaan perlu berhati-hati dengan sebarang langkah menghalalkan alkohol, kerana ia boleh bercanggah dengan imejnya sebagai pemimpin dunia Islam,” kata Sebastian Sons dari CARPO, sebuah badan pemikir Jerman, kepada AFP.
Arab Saudi dan Kuwait kini satu-satunya negara Teluk yang masih mengharamkan alkohol.
Di kafe A12, ramai warga Saudi datang hanya kerana ingin tahu.
“Rupanya menakutkan apabila nampak macam alkohol,” kata Sheikha, 18 tahun, yang hanya mahu dikenali dengan nama pertama.
“Perkataan ‘bir’ tu sendiri pun menakutkan,” katanya sambil ketawa.
Remaja itu, bersama seorang rakan, datang selepas melihat video di TikTok.
Bagi pengurus kafe, matlamatnya untuk menawarkan pengalaman macam bar, tetapi 'dalam batas nilai tempatan'.
Ia satu keseimbangan sukar dalam negara muda di mana ramai ingin mencuba benda baru tanpa melampaui batas budaya.
“Di negara kami, memang tak ada minuman beralkohol,” kata Ahmed Mohammed, 18 tahun, sambil meletakkan mug kosongnya.
“Dan kami pun tak mahu ia wujud.” - AFP