Cetus provokasi konon ‘abang besar’ di jalan raya

Iklan
Lagak pemandu lori yang semakin berani dan sering mencetuskan provokasi di atas jalan raya hanya kerana memandu kenderaan besar semakin membimbangkan orang awam. Gambar hiasan (Gambar kecil dari kiri: Norafizah, Rani, Siew Hong)

SHAH ALAM - Lagak pemandu lori yang semakin berani dan sering mencetuskan provokasi di atas jalan raya hanya kerana memandu kenderaan besar semakin membimbangkan orang awam.

Seorang guru sekolah rendah, Norafizah Abdul Razak, 56, mendakwa, kebanyakan pemandu lori mempunyai masalah sikap, misalnya sukar bertolak ansur dengan pengguna jalan raya lain tidak kira di kawasan bandar mahupun luar bandar.

Iklan
Iklan

Tambahnya, pemandu lori juga tidak mengambil endah tentang keperluan pengguna lain untuk menggunakan jalan raya termasuk hujung minggu sedangkan syarikat sepatutnya tidak boleh berbuat demikian.

“Di kampung saya di Jerantut ini memang laluan keluar masuk lori tapi sepatutnya Sabtu dan Ahad mereka tak boleh keluar. JPJ tak bagi kalau diikutkan.

Iklan

“Demi mengejar ‘trip’ hantar kelapa sawit, pasir dan bahan muatan lain, mereka keluar juga sehinggakan jalan sempit pun susah orang lain nak lalu. Jadi, syarikat lori kena ambil perhatian perkara ini kalau tidak sampai bila-bila mereka menyusahkan orang awam,” katanya kepada Sinar Harian.

Usahawan, Rani Wemel, 64, mendakwa, kerap melihat pemandu lori seolah-olah berlumba di laluan paling kanan lebuh raya sedangkan mereka sepatutnya berada di bahagian kiri jalan dan memandu mengikut had laju ditetapkan.

Iklan

Kata Rani, kejadian sebegitu turut berlaku ketika waktu puncak di saat pengguna jalan raya lain pergi atau pulang dari tempat kerja.

Menurutnya, jika perkara ini masih dibiarkan, tidak mustahil kes kemalangan melibatkan lori dan kereta orang awam akan terus berlaku.

“Padahal mereka tak patut pun keluar atau buat ‘trip’ semasa waktu puncak, termasuk guna lane kanan lebuh raya.

“Paling kerap saya jumpa adalah di sekitar Lembah Klang, Putrajaya dan Seremban kerana ini laluan yang saya selalu guna.

“Justeru, tindakan JPJ mengetatkan penguatkuasaan terhadap ‘abang lori’ dan syarikat mereka bekerja patut disambut baik kerana ia akan mempermudah urusan orang awam juga,” katanya.

Rani turut berpendapat, setiap lori patut dipasang ‘speed limiter device’ (SLD) sama seperti bas supaya apabila mencapai had laju maksimum, kuasa daripada enjin akan terpotong.

Jelasnya lagi, majoriti negara maju seperti United Kingdom (UK), Kanada, Australia, Jepun dan China mula menguatkuasakan undang-undang tersebut terhadap syarikat lori.

“Bila pemandu nak tekan pedal, lori tak boleh pergi laju kerana sudah ditetapkan had kelajuan.

“Ini inisiatif yang amat baik sekali gus berpotensi mengurangkan jumlah kes kemalangan di jalan raya,” kata Rani.

Pesara, Chia Siew Hong, 61, turut bersetuju dengan pendekatan JPJ mengetatkan penguatkuasaan terhadap kesalahan syarikat dan pemandu lori.

Bagaimanapun, jelas warga emas asal Kelantan itu, penguatkuasaannya mestilah adil, telus dan mengimbangi kesemua pihak baik dari sisi penguat kuasa, syarikat serta pemandu.

“Tindakan JPJ buat begitu memang bagus kerana ia sedikit sebanyak melegakan hati pengguna jalan raya lain tapi pastikan betul-betul adil terhadap syarikat dan pemandu lori.

“Kena lihat dari perspektif syarikat dan pemandu lori pula, bila dikenakan tindakan keras adakah menjejaskan periuk nasi mereka selepas operasi harian disekat kerana ramai mendakwa dianiaya oleh penguatkuasaan sebegini,” jelasnya.