Kediaman Muhyiddin jadi tumpuan malam ini

Iklan
Pengamal media memunggu di laluan utama menuju ke rumah Muhyiddin pada Selasa malam.

KUALA LUMPUR – [KEMAS KINI] Kediaman Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara menjadi tumpuan malam ini susulan pertemuan melibatkan Ahli Parlimen parti itu.

Antara yang hadir ialah Datuk Khlir Mohd Nor (Parlimen Merbok), Mohd Nazri Abu Hassan (Parlimen Grik), Fathul Huzir Ayob (Parlimen Gerik), Komander Nordin Ahmad Ismail (Bersara, Parlimen Lumut), dan Datuk Azman Nasrudin (Parlimen Padang Serai).

Iklan
Iklan

Turut hadir ialah Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (Parlimen Langkawi), Kapten Azahari Hasan (Parlimen Padang Rengas), Dr. Mohd Radzi Md Jidin (Parlimen Putrajaya), Datuk Seri Hamzah Zainudin (Parlimen Larut) dan Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (Parlimen Masjid Tanah).

Zakri Hassan (Parlimen Kangar) dan Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Parlimen Kubang Pasu) juga antara yang hadir.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan tular sebuah draf dokumen dalaman bertarikh 10 November 2025 yang didakwa sebagai surat sulit kepimpinan Bersatu, mencadangkan tindakan segera diambil bagi mendamaikan dan memulihkan kesejahteraan parti.

Dokumen tanpa kepala surat rasmi itu turut menyarankan agar DrmMohd Radzi menggantikan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.

Iklan

Keadaan di laluan masuk kediaman Muhyiddin.

Namun, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memaklumkan bahawa parti itu belum menerima sebarang maklumat daripada rakan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) berhubung surat cadangan pertukaran jawatan Ketua Pembangkang tersebut.

Sebelum pertemuan malam ini, seramai 16 Ahli Parlimen Bersatu telah menandatangani sepucuk surat bertarikh 23 Oktober lalu yang diserahkan kepada Muhyiddin bagi menyatakan kebimbangan serius terhadap polemik dalaman parti.

Surat itu menegaskan bahawa pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama satu penggal, adalah langkah yang tidak bijak.

Mereka juga berpendapat hukuman tersebut tidak kena pada masanya dan boleh mengganggu momentum sokongan rakyat terhadap pembentangan Gagasan Belanjawan PN oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Selain itu, mereka menentang keputusan parti memanggil Hamzah ke Lembaga Disiplin kerana dianggap tidak masuk akal.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, salah seorang yang menandatangani surat itu, mengesahkan bahawa dokumen berkenaan telah dihantarnya sendiri kepada Muhyiddin di Parlimen pada 27 Oktober lalu.

Beliau berkata, Muhyiddin telah membaca surat tersebut dan memberikan maklum balas.

Difahamkan, Ahli Parlimen Sungai Besar, Tanah Merah, Saratok dan Indera Mahkota tidak hadir dalam pertemuan malam ini.

Sementara itu, satu perhimpunan penyokong Hamzah yang dijangka berlangsung di luar kediaman Muhyiddin tidak berlangsung seperti yang digembar-gemburkan menerusi media sosial.