SHAH ALAM – Pemilihan parti semula wajar dipertimbangkan sebagai satu penyelesaian kepada kemelut dalaman yang sedang dihadapi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini.
Pengarah Strategi dan Pengukuhan Briged Armada Malaysia, Muhammad Khairulamirin Mohamad Lizam berkata, pandangan itu bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak.
Sebaliknya menurut Muhammad Khairilamirin, ia berdasarkan pemerhatian terhadap keadaan sebenar parti di semua peringkat.
Menurutnya, kemelut dalaman yang berlaku tidak lagi terhad di peringkat tertentu tetapi bermula di bahagian, merebak ke peringkat negeri dan kini turut melibatkan kepimpinan tertinggi parti, termasuk dalam kalangan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang dipilih melalui proses pemilihan.
Keadaan itu, jelasnya, secara tidak langsung memberi kesan kepada keupayaan parti untuk bergerak secara tersusun dan sehala.
Beliau berkata, perbezaan pandangan dan pergeseran dalaman yang berlarutan tanpa mekanisme penyelesaian yang jelas boleh menjejaskan keyakinan akar umbi serta melemahkan jentera parti.
“Dalam konteks ini, pemilihan parti semula boleh menjadi satu kaedah yang sah dan berperlembagaan untuk mengembalikan mandat serta memperjelaskan kedudukan kepimpinan,” ujarnya menerusi surat terbuka kepada Presiden dan pimpinan tertinggi Bersatu pada Selasa.
Muhammad Khairulamirin berkata, sebagai parti teras dalam Perikatan Nasional (PN), kedudukan dan kestabilan Bersatu mempunyai kesan langsung terhadap gabungan itu.
Jelasnya, masalah dalaman yang tidak diselesaikan dengan baik bukan sahaja memberi implikasi kepada Bersatu, malah turut mempengaruhi kejelasan hala tuju, kesepaduan kepimpinan dan penyelarasan dasar dalam PN secara keseluruhan.
“Oleh itu, usaha menstabilkan Bersatu juga merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh Perikatan Nasional,” ujarnya.
Beliau menegaskan, adalah menjadi tanggungjawab bersama pimpinan dan ahli untuk menangani keadaan itu secara berani dan terbuka menggunakan saluran yang dibenarkan oleh perlembagaan parti.
Menurutnya, penyelesaian secara tuntas memerlukan kesediaan untuk berdepan realiti semasa, bukan sekadar menangguhkan keputusan atau mengelakkan perbincangan yang sukar.
Muhammad Khairulamirin berkata, pemilihan parti semula tidak seharusnya dilihat sebagai langkah bermusuhan atau melemahkan parti.
"Sebaliknya sebagai ruang memperbaharui keyakinan, menyusun semula kekuatan dan memastikan kepimpinan parti benar-benar mencerminkan kehendak ahli," ujarnya.
Beliau percaya langkah itu jika dilaksanakan dengan tertib, telus dan berintegriti, mampu membantu parti keluar daripada kemelut dalaman dan bergerak ke hadapan dengan lebih stabil serta diyakini.