SHAH ALAM – Gesaan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipersoalkan susulan dakwaan kegagalan pihak lain dalam parti untuk melaksanakan tanggungjawab serta mematuhi disiplin kepimpinan.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, daripada mendesak Muhyiddin berundur, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Yunus Nurdin sepatutnya mencadangkan Timbalan Presiden parti melepaskan jawatan atas kegagalan melaksanakan tugas dan peranan sebelum ini.
Menurutnya, Timbalan Presiden parti gagal memainkan peranan sebagai Pengarah Pilihan Raya Sabah dan mengawal tindak-tanduk penyokong yang didakwa berulang kali melanggar perlembagaan serta disiplin parti sejak tahun lalu.
“Daripada meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur, lebih baik Yunus meminta Timbalan Presiden yang berundur atas kegagalan melaksanakan tugas dan peranannya sebelum ini,” katanya pada Isnin.
Beliau mengulas kenyataan Yunus pada Isnin yang mencadangkan supaya Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai Presiden Bersatu susulan kemelut dalaman yang melanda parti dan Perikatan Nasional (PN).
Dalam kenyataannya itu, Yunus berkata, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin merupakan tokoh paling layak untuk memangku jawatan Presiden Bersatu.
Selain itu, beliau turut mendakwa wujud kekeliruan politik akibat kenyataan dan tindakan unilateral berkaitan rundingan kepimpinan PN.
Yunus turut menegaskan bahawa sebarang perbincangan melibatkan cadangan pemansuhan jawatan Pengerusi PN tidak pernah dibawa atau dipersetujui dalam mesyuarat rasmi MPT Bersatu.
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, Yunus juga boleh mencadangkan agar dirinya sendiri berundur kerana sebagai Setiausaha Negeri bagi Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah, beliau juga merupakan sebahagian daripada kegagalan perancangan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah.
Katanya, sebagai Ahli MPT, Yunus tidak sewajarnya gagal memahami kuasa eksekutif Presiden Bersatu untuk berunding, termasuk status hasil perbincangan bersama Presiden Pas yang bersifat rundingan dan cadangan, bukannya keputusan muktamad parti.