Delegasi Indonesia kagum lihat ketegasan SPRM perangi rasuah

Iklan
Delegasi Indonesia yang hadir ke pejabat SPRM Selangor.

SHAH ALAM – Delegasi Institut Bisnis dan Informatika Kesatuan (IBIK) Bogor, Indonesia tidak menyangka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor mempamerkan proses siasatan sebenar serta menonjolkan ketegasan agensi itu dalam usaha memerangi rasuah baru-baru ini

Delegasi yang hadir ke pejabat SPRM Selangor itu turut dibawa melawat fasiliti utama termasuk lokap, bilik kawad cam dan bilik rakaman percakapan.

Iklan
Iklan

Seramai 21 delegasi IBIK yang diketuai Dekan Fakulti Informatik dan Pelancongan, Bambang Hengky Rainanto itu diberikan pendedahan mengenai fungsi serta peranan SPRM dalam menjalankan siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa yang dijalankan agensi berkenaan.

Bambang berkata, lawatan itu memberikan perspektif baharu kepada delegasi mereka, khususnya mengenai ketelusan SPRM dalam mendidik masyarakat mengenai fungsi siasatan.

Iklan

"Perkongsian yang diberikan SPRM amat bermakna, ini kali pertama kami menerima penerangan dan layanan seterbuka ini di Malaysia, terutamanya daripada SPRM Selangor.

"Keterbukaan seperti ini jarang diperoleh termasuk di negara kami sendiri, Malaysia menunjukkan contoh bagaimana sebuah negara berintegriti sentiasa berusaha menjadi lebih baik," katanya pada Selasa.

Iklan

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli berkata, sesi berkenaan memberi peluang kepada pihaknya berkongsi secara langsung pelbagai inisiatif pencegahan rasuah yang dijalankan.

Beliau berkata, perkongsian merangkumi pendidikan, advokasi serta pembudayaan integriti selain tindakan operasi.

"Saya turut menjelaskan pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) serta usaha negara mencapai kedudukan ke-25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033.

"Mahasiswa yang mengambil jurusan perniagaan dan kewangan perlu memahami kepentingan integriti serta tadbir urus yang baik," katanya.

Katanya, nilai murni dan kejujuran bukan sekadar dipelajari di universiti tetapi perlu dijadikan budaya sepanjang kehidupan.

Lawatan itu turut menjadi platform pertukaran pandangan antara Malaysia dan Indonesia mengenai cabaran dan pendekatan penguatkuasaan dalam isu rasuah.

Turut hadir Profesor Dr Jamaliah Said dan Prof Dr Balqis Zakaria daripada Accounting Research Institute (ARI), Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta pegawai kanan SPRM Selangor.