'Mula-mula tumpangkan anak jiran, kemudian buat bisnes'

Iklan
Seorang pemandu lelaki dikenakan tindakan oleh JPJ Negeri Sembilan dalam operasi van sekolah haram baru-baru ini.

KUALA PILAH - [DIKEMAS KINI] Demi mengaut keuntungan mudah, seorang lelaki menjadikan kereta jenis Perodua Alza miliknya sebagai 'van sekolah' bagi mengambil enam kanak-kanak dari sebuah sekolah, di sini.

Akibatnya pemandu lelaki berusia 30-an itu dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan kerana menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dalam operasi van sekolah haram baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Pemeriksaan lanjut mendapati, cukai kenderaan yang dipandu lelaki itu juga sudah tamat tempoh.

Penguat kuasa JPJ memeriksa sebuah kereta Perodua Alza yang dikesan dijadikan sebagai van sekolah haram.

Iklan

Dia mendakwa baru setahun menyediakan perkhidmatan tersebut dengan mengenakan tambang RM100 sebulan bagi setiap pelajar yang kesemuanya merupakan anak jirannya.

Katanya, dia melakukan pada siang hari kerana pendapatannya sebagai pengawal keselamatan tidak mencukupi.

Iklan

Dalam pada itu, sebuah lagi kereta yang dipandu seorang wanita turut ditahan dalam operasi berkenaan selepas didapati membawa empat kanak- kanak berusia 10 hingga 16 tahun.

Bagaimanapun, ketika ditahan, wanita berusia 49 tahun itu mendakwa tidak menjalankan kegiatan prebet sapu dan hanya membawa anak dan dua anak saudaranya.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, alasan menumpangkan anak jiran sering digunakan oleh pemandu apabila ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

Hanif Yusabra

"Mereka pada mulanya mungkin tidak berniat menjadikannya sebagai satu perniagaan, tapi berubah apabila melihat adanya permintaan.

"Kebiasaannya mereka ini akan mengenakan tambang yang lebih rendah berbanding dengan pengusaha berlesen dan itu sebabnya jadi pilihan ramai ibu bapa," katanya.

Ujarnya, seperti mana pengusaha van sekolah haram, pelbagai risiko mungkin dihadapi jika kenderaan ini terlibat dalam kemalangan semasa membawa pelajar sekolah.

Ini kerana katanya, penumpang tidak dilindungi insurans dan ia adalah sangat berisiko.

"Risiko lain adalah dari segi keselamatan kerana kenderaan ini mungkin tidak diselenggara secara berkala dan pemandu yang tidak terlatih untuk mengendalikan atau pengurusan penumpang kerana tidak mempunyai lesen vokasional (PSV) bagi tujuan membawa penumpang.

"Setiap orang yang ingin menjalankan perkhidmatan membawa murid atau pelajar sekolah perlu menggunakan bas sekolah yang mempunyai lesen/permit yang dikeluarkan oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD)," katanya.

Sementara itu, Hanif Yusabra berkata, dalam tempoh Januari hingga Oktober lalu, sebanyak 25 kenderaan telah diambil tindakan dalam operasi khas van haram dilaksanakan.

Tambahnya, sebanyak 55 kesalahan direkodkan dengan kesalahan paling tinggi melibatkan salah guna lesen kenderaan motor (28 kes) diikuti lesen kenderaan tamat tempoh (11 kes) dan tiada insurans (9 kes).