Muzium Feri tarikan baharu Pulau Pinang

Iklan
Muzium Feri Pulau Pinang menjadi tarikan baharu pelancongan.

PULAU PINANG - Pulau Pinang sememangnya terkenal dengan keunikan warisan sejarah dan budaya yang mempesona di negara ini.

Kini, sebuah lagi tarikan pelancongan menambah warna kepada landskap pelancongan dengan pembukaan Muzium Feri Pulau Pinang yang menjadi tarikan baharu selain melambangkan kemegahan pengangkutan air di Pulau Pinang.

Iklan
Iklan

Terletak di Pengkalan Weld, George Town, muzium ini membawa pengunjung kembali ke era kegemilangan perkhidmatan yang menjadi nadi penghubung utama antara Seberang Perai dan Pulau Pinang.

Selepas perkhidmatan feri ikonik ini dihentikan pada 2021, ramai yang menyimpan kenangan manis menaiki feri untuk merentasi Selat Pulau Pinang.

Iklan

Kewujudannya membolehkan pengunjung berpeluang menaiki feri bersejarah yang diubah suai menjadi sebuah muzium terapung.

Replika pemandangan kawasan Pengkalan Weld suatu masa dahulu.

Iklan

Muzium terapung pertama di Asia yang mengekalkan struktur sebenar feri itu mempamerkan perkembangannya sebagai pengangkutan awam laut tertua dan ikonik sejak 1893 hingga kini.

Pengarah Muzium Feri Pulau Pinang, Abdul Hadi Abu Osman berkata, muzium ini bukan sahaja menjadi pameran sejarah, malah membenarkan pengunjung merasai sendiri suasana menaiki feri.

Menurutnya, bilik enjin dan bilik navigasi 'Kapten Feri' antara yang menjadi tarikan utama di sini.

Katanya, muzium empat tingkat itu mampu menerima 150 pengunjung bagi setiap sesi lawatan yang mengambil tempoh kira-kira satu jam.

“Bilik enjin dan bilik navigasi menjadi tarikan utama berikutan sebelum ini tidak pernah dibuka kepada orang awam, selain itu ia mempunyai dek tinjau memaparkan pemandangan indah perairan selat negeri di tingkat atas serta beberapa ruangan interaktif sesuai kepada pelbagai lapisan usia.

“Hampir kesemua bahan atau artifak yang dipamerkan adalah asli, dikumpul daripada feri Pulau Pinang dan juga feri lama lain dilupuskan atau tenggelam,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Antara pameran terdapat dalam Muzium Feri Pulau Pinang.

Abdul Hadi berkata, proses renovasi bagi dijadikan muzium bermula pada awal 2022 selepas menerima tender yang dikeluarkan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) setahun sebelumnya.

Katanya, proses restorasi muzium feri itu sudah siap pada tahun lalu, namun mengalami kerosakan apabila tenggelam berikutan masalah teknikal.

“Ia adalah kejadian kali kedua (tenggelam) selepas kali pertama iaitu sebelum diambil alih syarikat kami, bagaimanapun perkara itu diatasi dalam tempoh dua minggu.

“Kos bagi restorasi dan baik pulih adalah RM7 juta namun berikutan kejadian itu ia meningkat sehingga RM10 juta,” katanya lagi.

Menurut Abdul Hadi, muzium feri itu dilengkapi dengan sistem keselamatan feri dan turut dipertingkatkan dengan pemasangan konkrit marin, sensor amaran awal serta pam automatik bagi mengelak risiko kebocoran selain memastikan keselamatan pengunjung.

Antara artifak asal feri dipamerkan di Muzium Feri Pulau Pinang.