Remaja lemas ketika mandi sungai bersama rakan

Iklan
Mangsa dikatakan mandi bersama empat rakan di Sungai Kampung Gelam, Mukim Tajar, Langgar pada Selasa.

ALOR SETAR - Seorang remaja ditemukan lemas ketika mandi bersama empat rakan di Sungai Kampung Gelam, Mukim Tajar, Langgar, di sini dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, Selasa.

Ketua Polis Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa, Muhammad Aiman Mohd Zaini, 17, dari Taman Derga Jaya dilaporkan berkunjung ke sungai berkenaan bersama rakan untuk mandi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian lemas disedari rakan yang seterusnya cuba menyelamatkan mangsa tetapi gagal kerana Muhammad Aiman dikatakan berada di kawasan tengah sungai.

"Disebabkan itu, rakan mangsa meminta pertolongan orang awam untuk memaklumkan kepada pihak polis.

Iklan

"Pada jam lebih kurang 6.20 petang, ketika pengadu sedang bertugas di Pusat Kawalan DCC Kota Setar telah terima panggilan memaklumkan kejadian lemas melibatkan mangsa di Sungai Gelam, Langgar," katanya.

Menurut Syed Basri, operasi mencari dan menyelamat oleh pasukan bomba berjaya menemui mangsa sekitar jam 6.41 petang.

Iklan

Beliau berkata, pemeriksaan luaran ke atas badan mangsa mendapati tiada kesan kecederaan.

Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk proses bedah siasat pada Rabu.