MIC main tarik tali, dijangka pilih laluan selamat

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin.

SHAH ALAM - MIC berada dalam posisi paling genting apabila parti itu bukan sahaja hilang pengaruh selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada 2018, malah berdepan dilema besar untuk memilih gabungan politik baharu.

Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, situasi parti pimpinan Tan Sri S A Vigneswaran itu semakin rumit kerana parti tersebut sebenarnya ‘takut’ untuk menyertai mana-mana gabungan lain, khususnya Perikatan Nasional (PN) meskipun beberapa kali menunjukkan minat.

Iklan
Iklan

“MIC beberapa kali menyebut mereka menimbang untuk sertai PN, tetapi itu hanya bermain tarik tali.

“PN adalah satu gabungan yang lebih menggunakan naratif Melayu - Islam dan parti utama adalah Pas. Bila MIC berada dalam pakatan yang menggunakan naratif itu, memang sukar dapat tempat dan orang India mungkin tidak akan menyokong MIC,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam BN.

Bagaimanapun Vigneswaran berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Iklan

Dalam pada itu Mazlan berpandangan, perubahan landskap politik hari ini turut mengecilkan ruang MIC dalam BN.

Malah menurutnya, parti komponen juga sedar BN tidak akan kembali kuat seperti 30 tahun dahulu dan tanpa MIC, mereka boleh ‘hidup’ kerana undi bukan Melayu boleh datang melalui kerjasama Pakatan Harapan (PH).

“Tentang masa depan MIC pula, selagi BN tidak kembali berkuasa seperti dahulu, MIC kekal menjadi parti yang tidak berperanan.

“MIC mesti berubah. Budaya politik lama sudah tidak relevan. Pengundi India semakin berpecah menyokong DAP, PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan parti-parti lain. Orang muda India hampir tidak lihat MIC sebagai pilihan.

“Jika MIC gagal menarik kembali sokongan generasi muda India, parti itu akan terus kekal sebagai parti tidak berperanan dan hanya menumpang gabungan lain demi survival,” ujarnya.

Sementara itu penganalisis sosiopolitik, Datuk M Periasamy berpandangan, MIC dijangka memilih gabungan yang mampu menjaga maruah parti dan memberi penghormatan sewajarnya kepada peranan mereka.

Penyertaan parti itu dalam Pakatan Harapan (PH) juga bukan jaminan mudah kerana gabungan itu mempunyai struktur sokongan yang tersendiri.

“Jika MIC memilih PH, gabungan itu memang memiliki kekuatan sokongan pengundi Cina melalui DAP serta segelintir pengundi Melayu di kawasan bandar.

“Tapi persoalannya, adakah DAP bersedia mengalihkan sokongan pengundian kepada calon-calon MIC di kawasan campuran?

“Inilah dilema strategik yang sedang menghantui pemikiran kepimpinan MIC menjelang pilihan raya umum nanti,” ujarnya.