MIC belum muktamad sama ada kekal atau keluar BN

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
Jelas beliau, perwakilan setiap negeri berhak mengusulkan perkara tersebut, namun keputusannya perlu diteliti CWC terlebih dahulu.

Sekiranya usul keluar daripada BN terjadi, kata Vigneswaran, pihaknya terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti selain Perikatan Nasional (PN), berkemungkinan Pakatan Harapan (PH).
“Ini keputusan perwakilan, takkan kita yang belum duduki mesyuarat terus nak keluarkan kenyataan? Semuanya tertakluk kepada keputusan CWC.
“Tetapi, keputusan ini akan dimuktamadkan kalau boleh secepat mungkin,” katanya ketika sidang media selepas Perhimpunan Agung Tahunan ke-79 MIC, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Ahad.
Terdahulu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan membentangkan tiga usul termasuk cadangan untuk meninggalkan BN dan membuat permohonan menyertai gabungan pembangkang.
Walaupun perwakilan membincangkan usul berkenaan, tiada undian dilakukan kerana perhimpunan bersetuju menyerahkan keputusan kepada presiden dan kepimpinan tertinggi MIC.
MIC merupakan parti politik di Malaysia dan merupakan salah satu pengasas gabungan BN sebelum ini dikenali sebagai Perikatan, yang memerintah sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
MIC ditubuhkan pada Ogos 1946, selepas Perang Dunia Kedua, bagi memperjuangkan kemerdekaan India daripada penjajahan British.
Selepas India mencapai kemerdekaan, MIC kemudian terlibat dalam perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu (kini Malaysia) yang berjaya direalisasikan pada 1957.
MIC menyertai Perikatan bersama UMNO dan MCA pada 1955, sebelum gabungan itu berkembang menjadi Barisan Nasional pada 1973 dengan penyertaan lebih banyak parti komponen.
Ringkasan AI
- Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 menangguhkan keputusan sama ada akan keluar atau kekal dalam Barisan Nasional
- Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, usul termasuk keluar daripada BN diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat untuk diteliti
- Jika usul keluar daripada BN diluluskan, MIC terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain kecuali Perikatan Nasional
- Tiga usul termasuk cadangan untuk meninggalkan BN telah dibentangkan oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan
- MIC adalah pengasas gabungan BN dan telah menyertai Perikatan yang kemudiannya menjadi BN sejak 1955
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

