Bomba terbangkan Orang Asli dipatuk ular

Iklan
Mangsa berjaya dibawa keluar menggunakan helikopter sebelum dihantar ke Hospital Gerik untuk rawatan lanjut.

GERIK – Seorang lelaki Orang Asli terpaksa diterbangkan menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas dipatuk ular berbisa ketika mencari hasil hutan di Kampung Agek berhampiran Pos Kemar di sini pada Ahad.

Mangsa, Sali Seruliou, 48, dilaporkan tidak mampu bergerak akibat kesakitan sebelum rakannya bergegas ke Pos Kemar untuk mendapatkan bantuan daripada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Iklan
Iklan

Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.05 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, operasi itu melibatkan perjalanan ekstrem kira-kira 10 jam meredah hutan belukar dan mendaki bukit bagi mencari mangsa.

Iklan

“Ketua operasi bersama pasukan bertolak dari Jeti Awam Pos Kemar pada jam 5.30 petang dan tiba di lokasi mangsa sekitar jam 11.30 pagi keesokan hari.

“Anggota memberi rawatan awal termasuk ubat tahan sakit mengikut panduan pegawai perubatan KKM dan menasihatkan mangsa untuk tidak banyak bergerak,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Shazlean berkata, pasukan kemudian bergerak ke kawasan yang mempunyai liputan telefon sejauh empat kilometer bagi memohon bantuan helikopter serta menyalurkan koordinat lokasi.

Katanya, anggota turut membina kawasan pendaratan yang mengambil masa hampir tiga jam bagi memastikan helikopter dapat mendarat dengan selamat.

“Helikopter JBPM digunakan bagi membawa keluar mangsa dan empat anggota penyelamat ke Lapangan Terbang Gerik sebelum mangsa dihantar ke Hospital Gerik untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, lima anggota operasi mengalami kecederaan ringan akibat jarak perjalanan yang jauh serta keadaan muka bumi mencabar sebelum dihantar ke Pos Kemar untuk rawatan.

Operasi itu disertai 10 anggota JBPM, sebuah bot, sebuah jentera RRV dan sebuah helikopter selain bantuan polis, tiga malim gunung dan empat penduduk Orang Asli.

Operasi terkawal pada jam 2.20 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 6 petang, Isnin.