JOHOR BAHRU – Bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor perlu ditambah bagi memastikan jumlah wakil rakyat lebih seimbang dengan pertambahan penduduk khususnya di kawasan selatan Johor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, Liew Chin Tong berkata, cadangan itu selari dengan perubahan demografi terutama di kawasan bandar yang berkembang pesat.
Menurutnya, DUN Perling yang diwakilinya kini mempunyai lebih 102,000 pengundi, berdasarkan data Oktober 2022, jumlah yang diyakini meningkat ketara ketika ini.
“Tujuh DUN di Selatan Johor iaitu Perling, Permas, Johor Jaya, Puteri Wangsa, Tiram, Kota Iskandar dan Skudai masing-masing mempunyai lebih 100,000 pengundi.
"Malah, 17 daripada 26 kerusi Parlimen Johor mempunyai jumlah pengundi yang lebih rendah daripada satu DUN Perling sahaja,” katanya ketika ucapan perbahasan DUN Johor di Kota Iskandar Pada Isnin.
Chin Tong yang juga Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri turut menekankan bahawa kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bukanlah' perkahwinan politik' sebaliknya peluang membentuk tatanan politik baharu yang lebih stabil dan matang.
Beliau membandingkan keadaan sekarang dengan perubahan tatanan atau sistem politik pada era pentadbiran Tun Razak Hussein pada 1970 yang membawa pembaharuan besar kepada struktur kerajaan dan hala tuju negara.
“Kita kini berada pada satu peringkat penting untuk membina tatanan politik baharu demi generasi akan datang. Inilah asas sebenar kerjasama BN-PH,” katanya.
Beliau berharap cadangannya untuk menambah kerusi DUN di kawasan selatan Johor dapat dipertimbangkan oleh kerajaan negeri demi memastikan perwakilan yang lebih adil dan seimbang.
Pada PRN Johor 2022, UMNO dan BN menang 40 daripada 56 kerusi dengan PH yang terdiri daripada DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.
PN pula menang tiga kerusi yang mana Bersatu dua, manakala Pas, satu sementara Parti Ikatan Demokratik (Muda) juga satu kerusi.