JOHOR BAHRU – UMNO Bahagian Mersing mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, K Raven Kumar memberikan penjelasan segera berhubung tindakannya yang didakwa bangun menyokong usul keluar MIC daripada Barisan Nasional (BN) pada Perhimpunan Agung Tahunan ke-79 parti itu di Selangor pada Ahad.
Ketua UMNO Bahagian Mersing, Youzaimi Yusof berkata, tindakan itu menimbulkan rasa kecewa mendalam dalam kalangan ahli serta jentera parti di peringkat bahagian dan cawangan, khususnya mereka yang bekerja keras memenangkan Raven pada PRN Johor 2022.
"Seluruh ahli UMNO dalam Bahagian Mersing dan juga penyokong - penyokong BN khususnya di DUN Tenggaroh sangat hampa dengan sikap YB yang bertindak sedemikian rupa.
"Tidak menghormati kami di Mersing yang selama ini menyokong YB atas semangat BN," ujarnya dalam muat naik di Facebook pada Isnin.
Menurut beliau, jentera UMNO dan BN Mersing selama ini memberikan komitmen sepenuhnya atas semangat setia kepada parti.
"Semua jentera UMNO dan BN Mersing yang bertungkus lumus, bekerja siang dan malam tak kira penat dan lelah untuk memenangkan YB di masa PRN Johor yang lepas.
"Walaupun YB bukan calon daripada UMNO tapi atas semangat BN kami semua bekerja bermati - matian untuk memenangkan YB di DUN Tenggaroh ini," katanya.
Raven yang juga Exco Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri merupakan ADUN Tenggaroh bagi penggal ketiga berturut-turut.
Beliau mencipta hatrik mempertahankan kerusi berkenaan selepas memperoleh majoriti 1,356 undi menewaskan tiga lagi pesaingnya pada PRN Johor 2022.
Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 pada Ahad lalu, memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam BN.
Bagaimanapun, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).