SEGAMAT - Penduduk Kampung Spang Loi di sini, menerima suntikan baharu menerusi pelbagai program pembangunan komuniti apabila pelbagai projek di bawah Program Santuni MADANI yang dilaksanakan di kampung itu.
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Dr K Nagulendran berkata, peluang yang diberikan kerajaan melalui program itu menjadi pemangkin kepada usaha merapatkan hubungan pemimpin dan rakyat.
“Perdana Menteri telah memberi ruang kepada KBS untuk berkhidmat lebih dekat dengan rakyat melalui Program Satu Pemimpin Satu Kampung atau Santuni MADANI, satu inisiatif signifi kan yang mencerminkan visi kepimpinan tertinggi negara dalam memperkukuh hubungan antara pemimpin, agensi kerajaan dan komuniti setempat.
“Program ini bukan sekadar peluang saya berbakti kepada daerah Segamat, tetapi melambangkan usaha kerajaan MADANI menyantuni masyarakat dengan pendekatan empati, keprihatinan dan tanggungjawab sosial,” katanya pada penyerahan Program Santuni MADANI di Sekolah Kebangsaan (SK) Spang Loi, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Datuk Zahri Sarip yang juga Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Johor.
Nagulendran menegaskan program tersebut bukan sahaja menumpukan usaha menaik taraf kemudahan fi zikal, tetapi memastikan suara masyarakat luar bandar didengari secara langsung melalui pendekatan turun padang.
“Saya difahamkan bahawa melalui pelaksanaan program ini, beberapa projek dan program telah dilaksanakan di Kampung Spang Loi.
“Antaranya termasuk usaha membaik pulih taman permainan kanak-kanak, membaik pulih gelanggang badminton, membekal peralatan sukan, meningkatkan keceriaan stor SK Spang Loi, membaik pulih rumah penduduk serta pelaksanaan pelbagai program komuniti dan sukan yang melibatkan penyertaan secara aktif masyarakat di kampung ini.
“Saya juga lihat pintu gerbang kampung ini telah diberi nafas baharu apabila melintas masuk sebentar tadi dan difahamkan ia juga merupakan sebahagian daripada projek di bawah Santuni MADANI,” ujarnya.
Tambah Nagulendran, pem bangunan desa harus bergerak seiring dengan pengukuhan perpaduan dan penglibatan belia dalam aktiviti komuniti.
“Semoga hubungan antara KBS dan komuniti Kampung Spang Loi akan terus kukuh meskipun selepas tamat program ini.
“Kita harus jadikan kampung ini sebagai contoh kampung yang makmur dan melahirkan generasi belia yang berdaya saing,” katanya lagi.