Tiada petunjuk baharu, Carilamat PATI bot karam ditamatkan

Iklan
Carilamat yang bermula 9 November ditamatkan pada Isnin selepas sembilan hari pencarian.

LANGKAWI – Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) pendatang asing tanpa izin (PATI) susulan bot karam di sempadan perairan Malaysia - Thailand ditamatkan pada Isnin berikutan tiada petunjuk baharu selepas sembilan hari pencarian.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, keputusan menamatkan operasi pada jam 6.30 petang dibuat selepas penilaian mendapati tiada petunjuk terbaharu selain mengambil kira faktor cuaca serta risiko, selaras Prosedur Operasi Standard (SOP) Carilamat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Maritim Malaysia telah mengoptimumkan semua keupayaan aset bagi memastikan setiap sektor pencarian diliputi sepenuhnya.

"Setakat jam 12 tengah hari, sebanyak 43 mangsa ditemukan iaitu 14 mangsa terselamat termasuk (12 lelaki, dua wanita) manakala 29 lagi maut (15 lelaki, sembilan wanita, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan).

Iklan

"Operasi sejak 9 November itu bermula susulan penemuan mangsa pertama ditemui hanyut sehingga ke perairan Langkawi," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, penemuan mangsa direkodkan sekitar Pulau Singa Besar, Pulau Rebak Besar, Teluk Apau, barat Tanjung Belua dan Pulau Anak Datai.

Iklan

“Semua mangsa yang ditemui telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk proses pengecaman dan tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, operasi besar-besaran itu membabitkan lebih 300 pegawai dan anggota menggunakan 22 aset merangkumi tiga aset udara serta 19 aset laut daripada Maritim Malaysia.

Selain itu, agensi lain termasuk Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Perikanan dan Unit Dron JBPM turut terlibat.

"Maritim Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi keselamatan, komuniti maritim serta individu yang membantu sepanjang operasi berlangsung," ujarnya.