Kekurangan 1,700 jururawat di Johor membimbangkan - Exco

Iklan
Tian Soon

ISKANDAR PUTERI – Kekurangan jururawat di Johor kini berada pada tahap membimbangkan, terutama menjelang pembukaan beberapa fasiliti kesihatan baharu termasuk Hospital Pasir Gudang pada tahun depan.

Exco Kesihatan dan Perpaduan, Ling Tian Soon berkata, setakat ini Johor merekodkan kekurangan seramai 1,700 jururawat manakala 64 jururawat meletakkan jawatan dari Januari hingga Oktober tahun ini atas pelbagai faktor.

Iklan
Iklan

“Memang ada yang berhijrah ke Singapura atau ke sektor swasta. Sebahagian lagi kerana masalah kesihatan dan keluarga.

“Perbezaan gaji antara Malaysia dan Singapura kekal menjadi cabaran besar. Jika di sini mereka menerima RM2,000 hingga RM3,000, di Singapura mereka memperoleh jumlah yang sama dalam dolar Singapura. Jurangnya hampir tiga kali ganda,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Iskandar Puteri pada Isnin.

Tian Soon (BN- Yong Peng) memberitahu bagi menangani isu berkenaan, satu jawatankuasa khas turut ditubuhkan antara kerajaan negeri bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membincangkan tentang isu kesihatan termasuk kekurangan sumber manusia dan penghijrahan jururawat ke Singapura.

Iklan

"Memang kita sekarang berhadapan dengan masalah kekurangan tetapi kalau kita nak jururawat bukan hari ini minta esok boleh dapat.

"Pengambilan jururawat ini perlu menerusi proses latihan mereka perlu menerusi proses ambil peperiksaan daripada Lembaga Jururawat Malaysia. Ia perlu melalui satu proses yang panjang," ujarnya.

Menurutnya, situasi itu memerlukan perhatian serius kerajaan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan di Johor tidak terjejas, khususnya di hospital dan klinik yang bakal beroperasi.

"Kerajaan Johor sebelum ini memberikan insentif RM100 kepada semua petugas kesihatan, dan tahun ini kerajaan negeri meningkatkan jumlah itu kepada RM500 sebagai tanda penghargaan.

"Selain itu, peruntukan tambahan RM5,000 turut diberikan kepada setiap pantri di fasiliti kesihatan bagi memperbaiki persekitaran kerja petugas," katanya.

Tian Soon memberitahu selain Hospital Pasir Gudang beberapa fasiliti kesihatan baharu akan beroperasi antaranya ialah Klinik Kesihatan Kota Tinggi.

Sementara itu projek besar seperti Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2) dijangka siap dalam tempoh empat hingga lima tahun, tambahnya.

Justeru katanya, kerjasama rapat dengan KKM penting supaya proses latihan dan pengambilan jururawat dapat dibuat lebih awal.

"Bila bangunan siap, tenaga manusia juga mesti sudah bersedia.

"Saya yakin melalui kerjasama KKM dan komitmen kerajaan negeri, isu kekurangan jururawat di Johor dapat diselesaikan secara berfasa," ujarnya.

-end-;