PORT DICKSON – Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Sembilan setakat ini tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung dakwaan berlakunya kegiatan mencuri hidupan marin di perairan Pantai Tanjung Biru hingga ke Tanjung Tuan di sini.
Pengarahnya, Kassim Tawe berkata, mana-mana pihak atau individu yang mempunyai maklumat diminta menghubungi DOF bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Menurutnya, setakat ini hanya satu kes pencerobohan nelayan dilaporkan berlaku di kawasan terbabit dan tindakan menyita peralatan serta sampan mereka telah pun diambil.
“Kita beranggapan ia (curi hidupan marin) itu sekadar andaian sahaja kerana sehingga kini tiada aduan rasmi dibuat kepada jabatan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
“Setakat ini, yang ada hanyalah kes tangkapan nelayan menceroboh tetapi bagi kegiatan mencuri atau mengambil ikan secara haram di kawasan itu memang tiada laporan diterima," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Jelasnya, kawasan perairan sejauh satu batu nautika di Tanjung Tuan telah diwartakan sebagai Kawasan Larangan Perikanan di bawah Akta Perikanan 1985.
Tambahnya, ini bermakna semua jenis aktiviti perikanan seperti memancing, memukat dan mengutip hasil laut adalah dilarang di kawasan itu.
"Jika didapati melanggarnya boleh dikenakan denda minimum RM500 atau denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya," tegasnya.