ADA sesuatu yang sedang retak dalam dunia kita, ia bukanlah di kerak bumi tetapi di dasar hati manusia.
Ketika langit masih biru dan kota masih bercahaya, kita terlupa bahawa di bawah kilauan itu, tamadun sedang reput perlahan-lahan.
Saintis Universiti Cambridge, Dr. Luke Kemp, memberi amaran dalam bukunya, Goliath’s Curse bahawa dunia sedang menuju ke arah kehancuran dan tanda-tandanya sudah bermula.
Beliau meneliti lebih 400 tamadun sepanjang 5,000 tahun sejarah manusia, dari Mesir purba hingga dunia moden.
Beliau menamakan fenomena itu “Sindrom Goliath” yang merujuk kepada tamadun yang terlalu besar, terlalu angkuh dan akhirnya rebah oleh beban ciptaannya sendiri.
Tamadun sebegini seperti raksasa yang dibina oleh tangan sendiri yang megah di luar tetapi rapuh di dalam.
Tanda dunia menuju kehancuran
Kemp mengenal pasti tiga amaran besar yang kini sedang berlaku di depan mata:
1 - Jurang kekayaan global yang semakin melebar antara segelintir kaya dan majoriti miskin. Kekayaan dunia kini dikuasai oleh kurang daripada satu peratus populasi, sedangkan jutaan orang tidur dalam kelaparan.
2 - Penguasaan teknologi oleh korporat besar yang menelan kebebasan manusia. Media sosial kini bukan medan perkongsian ilmu, tetapi gelanggang manipulasi emosi dan ekonomi.
3 - Krisis iklim yang parah di mana tanah menjadi gersang, laut menjadi marah dan udara menjadi racun. Alam yang dulunya sahabat kini menuntut keadilan.
Kemp menulis dengan getir bahawa dunia moden semakin kehilangan arah. Kita mencipta mesin yang mampu berfikir, tetapi kehilangan keupayaan untuk merasa. Kita menakluk ruang angkasa, tetapi gagal menakluk nafsu sendiri.
Gema wahyu dan sunnah
Anehnya, apa yang ditemui oleh sains dan sejarah sudah pun digema oleh wahyu beribu tahun lalu.
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah saat kehancuran.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Ironinya, inilah inti keruntuhan sebenar yang bukan runtuhnya bangunan, tetapi runtuhnya amanah dan jiwa manusia.
Dalam hadis lain, Baginda SAW mengingatkan: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun penuh tipu daya; orang jujur didustakan dan orang khianat dipercayai.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Tidakkah itu sedang berlaku di hadapan mata kita? Ketika kebenaran dianggap ancaman dan kejujuran menjadi bahan ketawa?
Kuasa yang digilirkan
Firman ALLAH SWT: “Dan demikianlah hari-hari (kemenangan dan kekalahan) itu Kami gilirkan di antara manusia.” (Surah Ali Imran: 140)
Ayat ini menegaskan bahawa kuasa tidak kekal, ia hanya pinjaman untuk diuji. Sejarah membuktikan bahawa setiap empayar yang mencapai puncak, akhirnya rebah oleh kerakusan sendiri.
Sarjana tempatan, Ayman Rashdan Wong, dalam bukunya Adikuasa, menulis bahawa tamadun Islam dahulu tidak dibangunkan di atas kemewahan, tetapi di atas ilmu, keadilan dan akhlak.
Ketika Barat masih terperangkap dalam Zaman Gelap, Islam menyalakan obor ilmu yang menerangi dunia.
Dunia yang hilang jiwa
Kini, dunia moden sedang mengulangi kesilapan yang sama dengan hanya dengan wajah yang lebih bergaya dan nama yang lebih canggih.
Kita menyembah algoritma, mempercayai propaganda dan menilai manusia berdasarkan harta, bukan maruah.
Teknologi yang sepatutnya membebaskan manusia kini memperhambakannya dalam bentuk baharu iaitu perhambaan digital.
Kita hidup dalam dunia yang kononnya pintar tetapi hati manusia semakin bodoh terhadap kasih sayang.
Hakikat jalan pulang yang abadi
Namun sejarah tidak ditulis untuk menakutkan, tetapi untuk menyedarkan. Kemp percaya bahawa kejatuhan masih boleh dielakkan jika manusia berani menilai semula makna kemajuan.
Tamadun yang bertahan bukan yang paling kaya atau paling kuat, tetapi yang paling jujur kepada nilai dan mampu menyesuaikan diri dengan kebenaran.
Kita perlu kembali kepada asas iaitu:
1 - Keadilan, bukan kerakusan.
2 - Ilmu, bukan ilusi.
3 - Amanah, bukan kuasa tanpa moral.
4 - Kasih sayang, bukan kebencian berselindung di balik kemodenan.
Kekuatan sebenar tamadun bukan pada temboknya, tetapi pada hati manusia yang jujur dan berakhlak.
Dunia moden kini berdiri di tepi jurang yang sama di antara kesedaran dan kehancuran. Kita masih belum terlambat untuk berpatah balik.
Selagi manusia sanggup menundukkan nafsu di bawah akal dan akal di bawah wahyu maka dunia masih punya harapan kerana jika kejatuhan bermula daripada tangan manusia, maka kebangkitan juga boleh dimulakan oleh tangan yang sama dengan syarat ia kembali bersujud kepada Tuhan.
***Penulis, PROFESOR MADYA DR ZAIZUL AB RAHMAN merupakan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia