SEKALI pandang, hutang hanyalah salah satu urusan kewangan antara dua pihak bagi memenuhi keperluan orang yang memerlukan.
Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini, terjadi pelbagai konflik yang tidak berkesudahan antara penghutang dan pemiutang hingga menyebabkan keretakan hubungan, tekanan emosi dan kehancuran institusi keluarga.
Bahkan lebih parah lagi apabila salah satu pihak yang gagal mengawal emosi, sanggup berlaku di luar batasan hingga menumpahkan darah dan membunuh.
Sinar Islam Plus menemu bual pendakwah, Ustaz Mohd Syahid Mohd Zaini dalam membincangkan mengenai isu hutang yang berlaku dalam masyarakat kini.
Menurut beliau, dalam Islam, hutang bukan sekadar urusan dunia, tetapi juga urusan agama yang akan dihisab di akhirat.
“Ia merupakan amanah dan tanggungjawab agama. Kelalaian membayarnya boleh menghalang pengampunan ALLAH SWT serta menghalang seseorang itu daripada mendapat pahala di akhirat,” jelasnya.
Ujarnya, banyak dalil dari ayat al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW berkaitan hutang yang mengingatkan umat Islam bahawa perbuatan itu dibenarkan namun perlu diselesaikan dengan kadar segera atau dalam tempoh yang ditetapkan.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Roh seorang Mukmin tergantung disebabkan hutangnya sehinggalah hutang itu dibayar.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Tambahnya, hutang sangat ditekankan dalam Islam kerana ia melibatkan hak manusia (huquq al-‘ibad) dan ALLAH tidak akan mengampunkan dosa yang berkaitan dengan hak manusia ini melainkan ia diselesaikan sesama mereka.
“Hutang mencerminkan amanah, keadilan dan tanggungjawab terhadap sesama manusia,” hurainya lagi.
Zalim tangguh hutang
Menyambung hujahnya, beliau berkata, menangguhkan bayaran hutang tanpa alasan syarie merupakan kezaliman dalam Islam.
“Orang yang mampu membayar hutang tetapi sengaja melengah-lengahkan dianggap berdosa,” katanya.
Beliau kemudian membacakan sepotong hadis: “Menangguhkan bayaran hutang oleh orang yang mampu merupakan satu kezaliman.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Beliau kemudiannya menasihatkan kepada orang yang berhutang agar segera melunaskannya agar hidup diberkati dan mati dalam keadaan tenang.
“Jika belum mampu, berundinglah dengan baik dan mohon tempoh tambahan daripada pemilik harta tersebut.
Beri tangguh atau sedekah
Ustaz Mohd Syahid menjelaskan, jika seseorang itu benar-benar tidak mampu membayar hutang, Islam memerintahkan kepada pemilik harta agar memberi kelonggaran atau dihapuskan hutang tersebut sebagai bentuk ihsan dan dia akan mendapat pahala yang besar di sisi ALLAH SWT.
Ia berdasarkan ayat ke-280 surah al-Baqarah: “Dan jika orang yang berhutang itu dalam kesukaran, maka berilah tangguh hingga dia mampu. Dan jika kamu bersedekah (menghapuskan hutang itu), maka itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”
Ujarnya lagi, terdapat beberapa kaedah penyelesaian dalam Islam berkaitan hutang:
1 - Penangguhan pembayaran iaitu memberi masa sehingga mampu membayarnya.
2 - Penghapusan hutang dengan sedekahkan hutang tersebut sebagai ganjaran di akhirat.
3 - Bantuan dari baitulmal atau pusat zakat bagi asnaf kategori gharimin (orang berhutang kerana keperluan).
Katanya, Islam menekankan kasih sayang dan keadilan dalam urusan hutang, bukannya menindas tetapi membantu sehingga orang yang berhutang kembali mampu.
Jelasnya, isu hutang yang tidak dapat dicapai penyelesaiannya boleh menjadi punca besar keretakan rumah tangga, tekanan hidup dan jenayah apabila ia tidak diuruskan dengan iman dan tanggungjawab.
“Justeru Islam mengajar umatnya agar berjimat dan berhutang hanya perlu. Berdoalah kepada ALLAH agar dijauhkan daripada bebanan hutang,” katanya.
Bagi mengelakkan terjerumus dalam hutang, seseorang itu perlu mendidik dirinya dengan sifat qanaah atau berpada-pada dan menguruskan kewangan dengan disiplin serta iman.
Ujarnya, antara langkah dalam mendidik diri:
1 - Bezakan antara keperluan dan kehendak.
2 - Sediakan bajet dan simpanan tetap setiap bulan.
3 - Jauhi gaya hidup menunjuk atau bersaing dengan orang lain.
4 - Amalkan doa yang memohon perlindungan daripada hutang: “Ya ALLAH, aku berlindung kepada-MU daripada beban hutang dan tekanan manusia.”