KOTA BHARU – Seorang bapa bersama anak tirinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan menyamun seorang wanita warga emas selepas mangsa membeli ikan hingga menyebabkan kecederaan di Nilam Puri, awal bulan ini.
Tertuduh, Mohd Shahrul Azuri Abdullah, 37, dan anak tirinya, Muhammad Zufayri Ibrahim, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa melakukan samun dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Habsah Mat Soud, 69, di hadapan sebuah kedai pada jam 8.15 pagi, 1 November lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan turut dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli tidak menawarkan sebarang jaminan sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan mereka diikat jamin.
Kes ditetapkan pada 10 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen.
Sebelum ini, tular rakaman kamera litar tertutup kejadian ragut oleh dua lelaki bermotosikal melarikan beg mangsa yang sedang menunggu di tepi jalan.
Mangsa yang cuba mengambil semula beg itu turut rebah dan cedera selain mengalami kerugian RM50.