GEORGE TOWN - Penduduk Tanjung Bungah, Batu Ferringhi dan Teluk Bahang mengesa kerajaan negeri supaya mengadakan sesi libat urus bersama sebelum pembinaan Projek Jalan Berkembar Pantai Utara (NCPR) dimulakan.
Pengerusi Persatuan Penduduk Tanjung Bungah, Zulfiqar Abdul Aziz berkata, mereka telah menghantar surat kepada kerajaan negeri bagi meminta sesi dialog untuk membincangkan projek berkenaan serta impaknya terhadap penduduk di kawasan terlibat.
“Kami menghantar surat pada 25 Julai dan sekali lagi pada 4 September untuk bertemu dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengenai isu ini tetapi kami tidak menerima sebarang maklum balas,” katanya kepada pemberita di luar bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada Isnin.
Terdahulu, Zulfiqar bersama kira-kira 20 penduduk berhimpun secara aman bagi menyerahkan salinan surat itu kepada Ketua Pembangkang, Muhammad Fauzi Yusoff.
Beliau berkata, kali terakhir sesi dialog mengenai projek itu diadakan pada 2017 dan ia berdasarkan jajaran lama projek berkenaan.
“Sekarang mereka sudah mengubah jajaran projek dan ia melibatkan cerun bukit yang curam.
"Kami bimbang tentang kesannya terhadap keselamatan penduduk semasa kerja-kerja pembinaan terutama pada musim hujan yang boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh,” jelasnya.
Tambah beliau, mereka bukan menentang projek tersebut sebaliknya hanya mahu mendapatkan maklumat lanjut.
“Kami tidak menolak pembangunan, kami mahu pembangunan yang baik,” ujarnya.
Menurutnya, mereka akan menghantar satu lagi surat untuk meminta pertemuan dengan Kon Yeow bagi mengadakan sesi dialog mengenai projek tersebut.
Zulfiqar berkata, kerajaan negeri perlu berhubung secara langsung dengan penduduk terjejas kerana mereka kumpulan yang paling menerima kesan projek berkenaan.
“Kami perlukan maklumat teknikal projek ini kerana setakat ini, apa yang kami tahu hanyalah melalui media,” katanya.
NCPR adalah jalan berkembar sepanjang 10.61 kilometer yang akan menjadi laluan alternatif menghubungkan Tanjung Bungah ke Teluk Bahang.
Kerja pembinaan lebuh raya bernilai RM2.9 bilion itu dijangka bermula pada 2026 dan siap pada 2031.