[VIDEO] 'Kami mahukan hak milik kekal bukan pajakan'

Iklan

ISKANDAR PUTERI – Penduduk Kampung Melayu Majidee Johor Bahru sekali lagi menyerahkan permohonan rasmi dan petisyen kepada Menteri Besar Johor bagi menuntut pertukaran tanah rizab Melayu (TRM) hak milik kekal daripada berstatus TRM pajakan negeri 99 tahun ketika ini.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam), Abdul Rahim Md Shariff berkata, permohonan dan petisyen kali kedua kali ini dibuat selepas penyerahan pertama tidak mendapat sebarang maklum balas.

Iklan
Iklan

"Permohonan pertama dihantar pada 8 September tahun lalu. Tahun ini, kami sekali lagi menghantar petisyen baharu yang mendapat sokongan hampir keseluruhan penduduk dengan kadar persetujuan sekitar 98 peratus.

"Kampung Melayu Majidee melibatkan lebih kurang 1,432 lot tanah. Kerajaan negeri perlu memberikan maklum balas rasmi terhadap surat permohonan kami.

Iklan

"Selepas itu barulah rundingan dapat diadakan di peringkat kerajaan negeri. Sekiranya ditolak, sudah tentu kami akan membuat rayuan kerana komitmen penduduk jelas iaitu mereka mahu mendapatkan hak milik kekal bukan sambung pajakan," katanya.

Persatuan Kebajikan Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majide hadir menyerahkan memorundum permohonan hak milik kekal di Sidang DUN Johor pada Isnin. Gambar kecil: Abdul Rahim

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorundum kepada dua ADUN Johor untuk dibahaskan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar pada Isnin.

Dua ADUN tersebut ialah ADUN Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan ADUN Endau, Alwiyah Talib.

Sementara itu, peguam mewakili Perkam, Mohamad Alias Rasman berkata, kerajaan negeri boleh mempertimbangkan penggunaan mekanisme sekatan kepentingan sekiranya bimbang untuk meluluskan status hak milik kekal kepada pemilik tanah di Kampung Melayu Majidee Johor Bahru.

“Jika bimbang pemilik akan menjual atau memindahkan pegangan tanah sebaik sahaja diberikan geran kekal boleh ditangani melalui kaedah sekatan," ujarnya.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, dengan sekatan sedemikian, apa-apa urusan jualan, gadaian atau cagaran hanya boleh dibuat dengan kebenaran pejabat tanah atau pihak berkuasa negeri.

“Kerajaan negeri juga boleh melakukan pemutihan untuk kenal pasti siapa pemilik, siapa penyewa dan jika ada warga asing,” tegasnya.

Pada 20 April lalu, media melaporkan lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee terus hidup dalam dilema apabila permohonan mereka untuk menukar status tanah kediaman masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri.

Tempoh pajakan TRM Kampung Melayu Majidee dijadual berakhir pada tahun 2053, iaitu 28 tahun lagi sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk terhadap masa depan mereka, termasuk kemungkinan kampung tersebut dibangunkan secara komersial.

Kampung Melayu Majidee merupakan penempatan Melayu kedua terbesar selepas Kampung Baru, Kuala Lumpur, dan terletak di lokasi strategik di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru dengan keluasan kira-kira 730 hektar.