Isu tanah Kampung Melayu Majidee bukan bahan politik murahan

Iklan
Mohd Hairi

JOHOR BAHRU- Isu penukaran status tanah di Kampung Melayu Majidee tidak wajar dipolitikkan sebaliknya perlu ditangani secara berhemah berasaskan undang-undang dan kepentingan jangka masa panjang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pihaknya amat kecewa dengan kenyataan bekas Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Dzulkefly Ahmad baru-baru ini mengenai Kampung Melayu Majidee.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri menjelaskan kenyataan Dzulkefly menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri enggan atau tidak cakna terhadap tuntutan penduduk berkaitan penukaran status pajakan kepada hak milik kekal.

Tegas Mohd Hairi, isu berkenaan bukan perkara baharu dan pernah wujud ketika individu terbabit berada dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

Iklan

“Jika benar perkara ini semudah yang digambarkan hari ini, mengapa tiada pelaksanaan menyeluruh ketika beliau sendiri berada dalam sistem pentadbiran dan mempunyai kuasa membuat keputusan?

"Pemberi milikan tanah secara hak milik kekal tertakluk kepada peruntukan Kanun Tanah Negara, khususnya Seksyen 76(aa), yang hanya membenarkan pertimbangan dalam keadaan khas seperti yang diputuskan Majlis Tanah Negara.

Iklan

“Berdasarkan rekod sejarah, tanah Kampung Melayu Majidee telah dikurniakan sebagai pegangan pajakan sejak penubuhannya pada tahun 1951 dan tidak termasuk dalam kategori khas yang membolehkan pertukaran kepada hak milik kekal. Ini bukan soal tidak mahu, tetapi soal terikat dengan undang-undang,” jelasnya dalam kenyataan.

Pada 26 Januari lalu, Dzulkefly yang juga bekas ADUN Kota Iskandar mendakwa, kerajaan Johor sebenarnya mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk meluluskan permohonan TRM oleh penduduknya daripada status Hakmilik Pajakan (leasehold) kepada Hakmilik Kekal (freehold) sepertimana yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Mohd Hairi menjelaskan kerajaan negeri memahami kebimbangan penduduk berkaitan jaminan pemilikan jangka panjang, akses pembiayaan serta potensi pampasan jika berlaku pengambilan balik tanah.

Sehubungan itu, kerajaan negeri mengambil pendekatan pentadbiran yang lebih praktikal termasuk memudah cara sambungan pajakan, mempercepat proses permohonan serta menyediakan insentif pengurangan premium bagi meringankan beban penduduk.

Mohd Hairi turut mengingatkan bahawa penukaran kepada hak milik kekal di kawasan bandar berisiko mendedahkan kampung tradisi kepada spekulasi pasaran, sekali gus mengancam kelangsungan komuniti Melayu bandar.

“Apabila nilai hartanah meningkat, wujud kecenderungan pemilik menjual kerana tawaran tinggi.

"Akhirnya komuniti berpecah dan identiti kampung terhakis. Kerajaan negeri tidak mahu Kampung Melayu Majidee menjadi komoditi pasaran sehingga tinggal nama sahaja,” katanya lagi.

Beliau berkata, Kampung Melayu Majidee kini termasuk dalam kawasan tumpuan komuniti Melayu bandar atau Malay Belt dan sedang diberi perhatian melalui penyediaan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Kampung Tradisi Bandaraya Johor Bahru.

RKK berkenaan, katanya, bertujuan memulihara kawasan kampung melalui perancangan tersusun, meningkatkan kualiti hidup penduduk, memperkasakan ekonomi tempatan serta memelihara identiti warisan dengan penglibatan masyarakat setempat dan agensi berkaitan.

“Keputusan berkaitan tanah mesti dibuat secara berhati-hati dan berpandangan jauh.

"Tanggungjawab kerajaan bukan hanya kepada pemilik hari ini, tetapi juga kepada generasi akan datang,” katanya.

Mohd Hairi berharap tiada pihak mengambil kesempatan membina sentimen mengelirukan rakyat demi kepentingan politik sempit dan menegaskan kerajaan negeri akan terus mendengar suara penduduk serta meneliti ruang penambahbaikan dasar demi masa depan Kampung Melayu Majidee.

Pada 20 April tahun lalu, media melaporkan lebih 40,000 penduduk kampung itu terus hidup dalam dilema apabila permohonan mereka untuk menukar status tanah kediaman daripada Tanah Rizab Melayu (TRM) berstatus pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri.

Tempoh pajakan TRM kampung berkenaan dijadual berakhir pada 2053, iaitu 28 tahun lagi, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk terhadap masa depan mereka, termasuk kemungkinan kampung tersebut dibangunkan secara komersial.

Kampung Melayu Majidee merupakan penempatan Melayu kedua terbesar selepas Kampung Baru, Kuala Lumpur, dan terletak di lokasi strategik di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru dengan keluasan kira-kira 730 hektar.