IPOH – [DIKEMAS KINI] Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) terus melakar sejarah apabila berjaya melaksanakan prosedur Deep Brain Stimulation (DBS) pertama di Perak bagi merawat pesakit Parkinson pada 11 November lalu.
Kejayaan julung kali dilaksanakan di Perak hasil kepakaran serta dedikasi pasukan perubatan HRPB dengan kerjasama Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) itu turut dikongsi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman Facebook pada Isnin.
Prosedur pembedahan stereotaktik yang berisiko tinggi itu dikendalikan oleh pasukan multidisiplin terdiri daripada pakar neurosurgeri, neurologi, anestesiologi, radiologi serta pakar sokongan lain.
Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, kejayaan berkenaan membuktikan kemampuan HRPB menyediakan rawatan berteknologi tinggi dan bertaraf pusat rujukan nasional.
"Prosedur ini memberi sinar baharu kepada pesakit Parkinson yang mengalami kekakuan otot, pergerakan perlahan dan gegaran ketara.
"Rawatan DBS melibatkan pemasangan elektrod khas di bahagian otak tertentu bersaiz kecil, kira-kira 4 milimeter, bagi menghasilkan rangsangan elektrik terkawal,” katanya dalam kenyataan menerusi hantaran di Facebook HRPB.
Menurutnya, pencapaian itu menjadi pemangkin kepada usaha memperluaskan akses rawatan lanjutan untuk pesakit Parkinson di wilayah utara Semenanjung selari dengan komitmen Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan perkhidmatan khusus di hospital-hospital negeri.
Sementara itu, Ketua Jabatan Neurosurgeri HRPB, Dr Azhari Omar berkata, proses rawatan tidak berakhir selepas pembedahan sebaliknya memerlukan penyesuaian tetapan peranti DBS serta ubat-ubatan dalam tempoh enam bulan bagi mencapai keberkesanan optimum.
Jelasnya, pemulihan dan senaman berkala juga penting bagi memastikan pesakit mencapai tahap fungsi dan kualiti hidup terbaik.
Bagi Pakar Neurologi HRPB, Dr Chin Mann Leon pula menjelaskan bahawa DBS merupakan antara rawatan paling efektif untuk pesakit Parkinson di peringkat lanjut, khususnya apabila ubat-ubatan tidak lagi memberikan tindak balas yang mencukupi.
Prosedur tersebut turut melibatkan penilaian rapi dan pemilihan pesakit yang teliti oleh Dr Chin bersama pasukan pakar lain termasuk Dr Mohd Farhan Mohd Faiz, Wilson Yeo, Dr Chin Han Lim (neuropsikiatri), Dr Nahemah Hasanani (bius), Dr Rozita Mohd Ghazali (radiologi) serta pakar neurosurgeri HUSM, Prof Datuk Dr Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani.
Selain pembedahan, pesakit turut melalui sesi kaunseling bagi memastikan mereka memahami jangkaan rawatan dan proses pemulihan secara realistik.
Dengan kejayaan ini, Perak kini sebaris dengan pusat perubatan utama negara seperti Pusat Perubatan Universiti Malaya, HUSM, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Pulau Pinang yang telah lebih awal melaksanakan prosedur DBS.
Kejayaan itu sekali gus menandakan kemajuan besar dalam bidang neurosurgeri negeri ini.
HRPB dalam kenyataannya berharap kolaborasi kepakaran ini akan membuka lebih banyak peluang rawatan kepada pesakit Parkinson serta memberi harapan baharu kepada komuniti yang memerlukan.