JITRA – Impian seorang wanita untuk bergelar isteri buat kali kedua tidak kesampaian apabila pengantin lelaki tidak hadir ketika majlis akad nikah pada Jumaat lalu.
Nor Syafiqah Mohd Sharif, 28, yang masih terkesan dengan kejadian berkenaan berkata, majlis yang dirancang rapi di Kampung Padang Luar, Mukim Pelubang di sini bertukar menjadi detik paling memilukan dalam hidupnya.
Menurutnya, bakal suaminya itu yang berusia 36 tahun dikenalinya sejak lapan bulan lalu dan merupakan pekerja di kedai makan miliknya.
“Sepanjang perkenalan, hubungan kami berjalan lancar meskipun mendapat tentangan daripada keluarga pihak lelaki.
“Dia beritahu bapanya tidak merestui hubungan kami, tetapi tetap mahu teruskan perkahwinan. Malah, dia menemani saya mencuba pakaian pengantin dan datang ke rumah sehari sebelum majlis untuk menyatakan kesungguhan meneruskan akad nikah,” katanya yang masih terkesan dengan kejadian tersebut.
Nor Syafiqah berkata, segala persiapan termasuk kad jemputan, pelamin dan barangan perkahwinan telah disediakan untuk majlis resepsi yang dijadualkan berlangsung pada 13 Disember ini tetapi semuanya terpaksa dibatalkan.
“Saya mengalami kerugian hampir RM12,000 bagi semua persediaan perkahwinan ini. Semua itu daripada simpanan saya sendiri.
"Saya tiada ibu dan ayah, hanya bergantung pada kasih sayang abang dan kakak kerana saya anak bongsu daripada lima beradik,” katanya sebak.
Jelasnya Nor Syafiqah, pada pagi Jumaat, mesej WhatsApp yang dihantar hanya dibalas dengan blue tick tanpa sebarang respons.
Imam Kariah Lubuk Batu yang dijadualkan menikahkan mereka berdua sudahpun hadir tetapi pengantin lelaki tidak muncul.
Lebih 1,000 tetamu termasuk ahli keluarga dan kenalan hadir ke majlis yang lengkap dengan khemah, pelamin, pakaian pengantin serta katering makanan namun, Nor Syafiqah terpaksa memaklumkan bahawa pernikahan tidak dapat berjalan seperti dirancang.
“Saya malu dan hanya berkurung dalam bilik. Petang itu barulah saya tukar pakaian dan keluar bertemu tetamu.
"Saya dimaklumkan dia tidak hadir kerana takut dimarahi bapanya, tetapi saya sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku,” ujarnya.
Nor Syafiqah yang pernah berkahwin sebelum ini dan mempunyai seorang anak perempuan berusia lima tahun tidak menyangka akan melalui pengalaman pahit sebegini.
“Saya sudah buat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu kerana rasa tertipu. Saya juga telah berjumpa dengan peguam untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.