Pengukuhan nilai integriti seawal usia perangi rasuah

Iklan
Flag off Jelajah Integriti pasukan motosikal berkuasa tinggi sempena pelancaran KIAR 2025 di Pejabat Ikram di Putrajaya pada Ahad.

PUTRAJAYA - Pendidikan integriti perlu bermula sejak peringkat awal kehidupan selaras dengan keperluan negara membina masyarakat bermoral tinggi dan bebas rasuah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Ahmad Ramdzan Daud berkata, perkara itu merupakan prinsip penting ditegaskan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika sambutan Bulan Integriti baru-baru ini.

Iklan
Iklan

"Baginda menegaskan, integriti tidak hadir secara semula jadi, tetapi terbentuk melalui pendidikan dan pembudayaan nilai dari kecil.

"Kembali kepada asas Rukun Negara, Kepercayaan Kepada Tuhan, sebagai akar kepada pembentukan moral dan sahsiah. Kita boleh mengejar ekonomi, teknologi dan pendapatan tinggi, tetapi semua itu tidak bermakna jika nilai moral kita runtuh," katanya ketika majlis pelancaran Kempen Integriti dan Antirasuah (KIAR) 2025 di Pejabat Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) di sini pada Ahad.

Iklan

Pelancaran tersebut turut dihadiri hampir 30 penunggang motosikal daripada MyIkram Bikers, UKM Bikers, TM Bikers, GMK Bikers dan Z900RS Bikers yang menyertai program Jelajah Integriti.

Ahmad Ramdzan (tengah) ketika membuat flag off Jelajah Integriti pasukan motosikal berkuasa tinggi sempena pelancaran KIAR 2025 di Pejabat Ikram di Putrajaya pada Ahad.

Iklan

Dalam pada itu, Ahmad Ramdzan turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan jenayah dan keganasan di sekolah termasuk kes rogol, pembunuhan serta buli yang menjadikan sekolah tidak lagi dianggap tempat paling selamat bagi pelajar.

"Pendidikan sahsiah perlu diperkukuh dari peringkat akar. Nilai moral tidak boleh diberikan secara serta-merta. Ia perlu dipupuk dan dibina sejak kecil," katanya.

Tambah beliau, dalam usaha memperkukuh landskap integriti negara, IIM kini melaksanakan pengukuhan National Integrity, Governance and Anti-Corruption Ecosystem 2025 yang memberi tumpuan kepada pengurusan organisasi cemerlang, pengukuhan sistem pengurusan integriti, tadbir urus sektor awam dan swasta dan kolaborasi dasar bagi memperbaiki Indeks Persepsi Rasuah negara.

Beliau berkata, usaha yang dijalankan Ikram dan Rasuah Busters itu amat penting kerana melibatkan peranan masyarakat sebagai penyokong dasar, pembentuk norma dan rakan moral dalam memperkukuh integriti nasional.

"Gabungan kekuatan institusi kerajaan dan masyarakat sivil adalah formula paling ampuh untuk membina negara bebas rasuah," katanya.

Menurutnya, mesej integriti perlu diperluas ke seluruh ekosistem masyarakat supaya tidak terhad dalam seminar atau wacana akademik semata-mata.

"Mesej integriti mesti sampai ke sekolah, kampus, pejabat, masjid, komuniti digital dan seluruh ruang kehidupan rakyat," jelas beliau.

Dalam pada itu, Presiden Ikram, Badlishah Sham Baharin berkata, integriti bukan sekadar nilai sosial, tetapi tuntutan agama.

Beliau memetik firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 188 dan Surah An-Nisa ayat 58 yang menegaskan larangan keras terhadap rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan serta kewajipan menunaikan amanah dengan adil.

Ujarnya, hadis Rasulullah SAW turut mengingatkan bahawa sesiapa yang menipu bukan daripada golongan baginda, manakala hilangnya amanah adalah tanda keruntuhan masyarakat.

"Integriti adalah asas iman. Ia penentu jatuh bangun sebuah bangsa. Bentuk rasuah hari ini tidak lagi terhad kepada sogokan terbuka, tetapi juga melibatkan kronisme, manipulasi data, salah guna kedudukan, penyalahgunaan sumber dan budaya duit kopi yang dinormalisasikan," katanya.

Badlishah Sham turut merujuk penemuan Transparency International yang menunjukkan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia kekal rendah antara 47–53 sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jauh ketinggalan berbanding negara seperti Denmark, Finland dan Singapura.

"Ini menandakan berlakunya normalisasi nilai korup dalam sesetengah sektor masyarakat. Kempen KIAR 2025 ini sebagai platform penyatuan kerajaan, NGO, institusi pendidikan, sektor swasta, media, masjid, komuniti dan rakyat akar umbi untuk menyuarakan satu suara yang tegas menolak rasuah dan membina kembali integriti nasional.

"Integriti adalah nilai yang terbenam dalam hati, bukan sekadar slogan. Menolak rasuah bukan hanya tidak memberi atau menerima, tetapi tidak bersubahat dan tidak berdiam diri," katanya.

Menurut beliau, besar harapan pihaknya, KIAR 2025 dijadikan satu gerakan nilai nasional bukan sekadar program tahunan.

Justeru, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia membina negara yang bersih, adil dan berintegriti tinggi selaras dengan tema KIAR 2025, Integriti Dibina, Rasuah Binasa.

"Integriti adalah jiwa tamadun. Tanpanya, ilmu menjadi alat menipu, kuasa menjadi alat menindas dan harta menjadi alat menyeleweng," katanya.